PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 1 Buku Program PEMULIHARAAN & PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 3 November 2026 Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 ii Isi Kandungan LATAR BELAKANG SEMINAR iii SEKAPUR SIRIH iv PROGRAM 1 ABSTRAK Pembentang Ucaptama Pembentang Jemputan Pembentang Poster 3 5 17 JAWATANKUASA PENGANJUR 44 PENGHARGAAN 45
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 iii Latar Belakang Seminar Penganjuran Seminar Pemuliharaan dan Pemerkasaan Pengetahuan Tradisi (TK) 2026 bertujuan meneruskan usaha pemeliharaan, pendokumentasian dan pengiktirafan Pengetahuan Tradisi (TK) yang diwarisi secara turun-temurun oleh masyarakat orang asli dan komuniti setempat di Semenanjung Malaysia. Pengetahuan tradisi merupakan khazanah ilmu yang mencerminkan hubungan erat antara komuniti dengan sumber biologi, serta menjadi sebahagian daripada identiti, budaya dan amalan warisan yang diperturun merentas generasi. Usaha pendokumentasian TK berkaitan tumbuhan ubatan telah dimulakan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sejak tahun 2007 melalui pelaksanaan Projek Pendokumentasian Pengetahuan Tradisi Orang Asli di Semenanjung Malaysia. Inisiatif ini kemudiannya diperluaskan kepada masyarakat Melayu pada tahun 2013. Kedua-dua projek perintis ini memberi tumpuan kepada usaha pendokumentasian pengetahuan dan amalan berkaitan penggunaan sumber biologi yang berasaskan kepercayaan, adat resam serta warisan masyarakat orang asli dan Melayu di Semenanjung Malaysia. Selain pendokumentasian, usaha penyelidikan turut merangkumi penentusahan saintifik dan penerokaan potensi baharu spesies tumbuhan terpilih untuk pembangunan produk kesihatan dan penjagaan diri berasaskan pengetahuan tradisi masyarakat orang asli. Inisiatif ini merupakan langkah penting dalam meneroka potensi aplikasi TK serta merealisasikan perkongsian faedah melalui pembangunan dan pengkomersialan produk secara bertanggungjawab, beretika dan mampan, dengan mengambil kira hak serta kepentingan komuniti pemilik pengetahuan. Sehubungan itu, seminar ini dianjurkan sebagai platform untuk berkongsi pengalaman, dapatan dan hasil penyelidikan terkini berkaitan sumber biologi berasaskan TK masyarakat orang asli/orang asal dan komuniti setempat. Seminar ini turut menyediakan ruang perbincangan dan pertukaran pandangan mengenai perkembangan semasa, cabaran serta hala tuju aplikasi pengetahuan tradisi, khususnya dalam memperkukuh pelaksanaan mekanisme perkongsian faedah yang adil dan saksama. Melalui penganjuran seminar ini, diharapkan jaringan kerjasama strategik antara agensi kerajaan, institusi penyelidikan, ahli akademik dan komuniti dapat diperkukuh. Seminar ini juga diharapkan dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan dan pemerkasaan TK, di samping memperkukuh pelaksanaan mekanisme Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah (ABS) demi melindungi kepentingan komuniti serta memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara adil dan saksama oleh semua pihak yang terlibat.
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 iv Sekapur Sirih KETUA PENGARAH INSTITUT PENYELIDIKAN PERHUTANAN MALAYSIA Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Malaysia Madani. Segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia dan izin-Nya, Seminar Pemuliharaan dan Pemerkasaan Pengetahuan Tradisi (TK) 2026 dapat dianjurkan sebagai kesinambungan usaha memperkukuh pemuliharaan, pendokumentasian dan pemerkasaan pengetahuan tradisi, khususnya dalam kalangan masyarakat orang asli di Semenanjung Malaysia. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada pihak urus setia serta semua pihak yang telah memberikan komitmen dan kerjasama dalam menjayakan penganjuran Seminar TK 2026 ini. Penganjuran seminar ini menjadi platform penting untuk menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk agensi kerajaan, institusi penyelidikan, ahli akademik dan wakil komuniti yang terlibat bagi berkongsi pandangan serta membincangkan isu-isu berkaitan TK secara menyeluruh. Perkongsian ilmu, pengalaman dan kepakaran ini diharapkan dapat membuka ruang kepada kerjasama strategik yang lebih erat dalam memperkukuh pengurusan pemeliharaan dan perlindungan TK di Malaysia. Saya berharap agar penganjuran seminar ini dapat meningkatkan kesedaran para peserta terhadap kepentingan pemeliharaan TK, di samping menggalakkan penglibatan aktif komuniti tempatan dalam menghargai, mewarisi dan mempertahan ilmu yang telah diwariskan turun-temurun. Pada masa yang sama, pemahaman mengenai akses dan perkongsian faedah secara adil dan saksama perlu terus diperkukuh dalam kalangan pemegang taruh/pihak berkepentingan bagi memastikan pengurusan TK dilaksanakan secara bertanggungjawab dan berkesan. Saya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua peserta, pembentang jemputan serta pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran seminar ini. Penghargaan khusus juga ditujukan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) atas kerjasama dan sokongan yang diberikan, serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) atas sokongan dana bagi penganjuran seminar ini. Semoga perkongsian ilmu dan perbincangan yang berlangsung dapat menghasilkan idea serta pendekatan yang bermanfaat dalam memperkukuh usaha pemeliharaan dan pemerkasaan TK negara. Akhir kata, saya mengucapkan selamat bersidang kepada semua peserta. Semoga Seminar Pemuliharaan dan Pemerkasaan Pengetahuan Tradisi 2026 berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dan menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memelihara khazanah TK demi manfaat generasi kini dan akan datang. Sekian, terima kasih. DATO’ DR HJ. ISMAIL HJ. PARLAN
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 1 ATUR CARA PROGRAM SEMINAR PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 03 NOVEMBER 2026 (SELASA) Pacific Ballroom 08.15 pagi Pendaftaran Peserta & Pembentang Jemputan Seminar 08.30 pagi Ketibaan Tetamu Jemputan VIP/VVIP 08.45 pagi Ketibaan YBhg. Dato’ Dr Hj. Ismail Hj. Parlan (Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia–FRIM) 09.00 pagi Ketibaan YBhg. Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin (Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam–NRES) 09.05 pagi Nyanyian Lagu Negaraku & Bacaan Doa 09.15 pagi Ucapan Alu-aluan oleh YBhg. Dato’ Dr Hj. Ismail Hj. Parlan (Ketua Pengarah FRIM) 09.35 pagi Ucapan Perasmian oleh YBhg. Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin (Ketua Setiausaha NRES) Pelancaran Produk Prototaip SpectaCare Penyampaian Cenderahati kepada Ketua Setiausaha NRES 09.50 pagi Sesi Bergambar 10.00 pagi Sesi Lawatan Poster & Minum Pagi 10.20 pagi Ucaptama: YBrs. Ts. Dr Khairul Naim Adham (Bahagian Pengurusan Biodiversiti & Perhutanan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam– BPBP, NRES) Melindungi Pengetahuan Tradisi Berkaitan Sumber Biologi: Kemajuan Pelaksanaan dan Perspektif Masa Depan SESI 1 PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI (Moderator: YBhg. Dato’ Dr Hj. Ismail Hj. Parlan) 10.50 pagi Jemputan 1: Encik Ariff Fahmi Abu Bakar (FRIM) Pengetahuan Tradisi Orang Asli: Pengukuhan Pendekatan FRIM bagi Memenuhi Keperluan Semasa 11.10 pagi Jemputan 2: YBrs. Dr Suhaila Ismail (Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia–BPTK, KKM) Pemerkasaan Perubatan Tradisional Orang Asli: Memelihara Warisan Pengetahuan Tradisi untuk Kelestarian Generasi 11.30 pagi Jemputan 3: Encik Clive Allen Williams-Hunt (Majlis Belia Orang Asli Malaysia–MBOAM) Pemuliharaan dan Pemerkasaan Pengetahuan Tradisi bagi Masyarakat Orang Asli Semenanjung Malaysia
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 2 11.50 pagi Jemputan 4: Encik Mohd Rozaidi Abdul Rahman (Yayasan Inovasi Malaysia– YIM) Program MyIS Golden STI: Memperkasakan Warga Usia Emas melalui Sains, Teknologi dan Inovasi 12.10 tengah hari Jemputan 5: Encik Rodney Jammy (Sabah Biodiversity Centre–SaBC) Memperkasa Akses dan Perkongsian Faedah (ABS) melalui Protokol Komuniti di Sabah 12.30 tengah hari Sesi Lawatan Poster & Makan Tengah Hari SESI 2 KELESTARIAN PENGETAHUAN TRADISI (Moderator: YBrs. Dr Fadzureena Jamaludin) 02.30 petang Jemputan 6: YBrs. Dr Mohd Parid Mamat (FRIM) Pembangunan Skim Ekopelancongan Berasaskan Komuniti bagi Kelestarian Alam Sekitar dan Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Luar Bandar 02.50 petang Jemputan 7: YBrs. Prof. Madya Dr Sharina Abdul Halim (LESTARI, Universiti Kebangsaan Malaysia–UKM) Penglibatan Komuniti Tempatan dalam Pemuliharaan Warisan antara Realiti dan Harapan 03.10 petang Jemputan 8: YBrs. Dr Nik Musa’adah Mustapha (FRIM) Inisiatif FRIM dalam Melestarikan Pengetahuan Tradisi Orang Asli dan Melayu 03.30 petang Jemputan 9: Encik Harulnizam Abd Rahman (Jabatan Kemajuan Orang Asli– JAKOA Negeri Perak dan Kedah) Program Rakan Sinergi Perak Sejahtera 2030 Fasa 1: Menyantuni Orang Asli 03.50 petang Jemputan 10: Puan Hanim Apeng (Asli Mak Intan Enterprise) Kejayaan Pengkomersialan Produk Hasil Rimba Masyarakat Orang Asli 04.10 petang Jemputan 11: Yang Beradat Batin Rani Bah Ulin (Koperasi Orang Asli Lata Kinjang Berhad–KOALB) Inisiatif KOALB dalam Pemuliharaan Biodiversiti dan Memperkasa Ekonomi Masyarakat Orang Asli atau Setempat 04.30 petang Majlis Penutup oleh YBrs. Dr Mohd Zaki Hj. Abdullah (Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) FRIM) 05.00 petang Minum Petang & Bersurai
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 3 ABSTRAK Pembentang Ucaptama
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 4 MELINDUNGI PENGETAHUAN TRADISI BERKAITAN SUMBER BIOLOGI: KEMAJUAN PELAKSANAAN DAN PERSPEKTIF MASA DEPAN Khairul Naim A Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Aras 6, Blok F11 Kompleks F, Lebuh Perdana Timur, Presint 1, 62000 Putrajaya E-mel: khairulnaim@nres.gov.my Pengetahuan tradisi (traditional knowledge–TK) berkaitan sumber biologi (associated with biological resources) merupakan pengetahuan formal atau tidak formal berkaitan sumber biologi yang dikumpulkan bertahun-tahun lamanya berdasarkan pengalaman, dan diceritakan secara lisan daripada satu generasi ke satu generasi, serta dimiliki secara kolektif oleh masyarakat peribumi dan tempatan (indigenous peoples and local communities–IPLC). Kertas ini membincangkan agenda dan hala tuju bagi melindungi TK di peringkat antarabangsa melalui Protokol Nagoya iaitu salah satu protokol di bawah Konvensyen Kepelbagaian Biologi (Convention on Biological Diversity–CBD) dan kerangka biodiversiti antarabangsa iaitu Kunming- Montreal Global Biodiversity Framework (KMGBF). Di peringkat kebangsaan, Malaysia telah menterjemahkan obligasi di bawah Protokol Nagoya kepada Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 (Akta 795) yang dikuatkuasakan pada 18 Disember 2020. Daripada aspek polisi pula, KMGBF telah diintegrasikan dalam Sasaran 14, Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022–2030 (DKBK) dengan mengambil kira keutamaan, keadaan dan keupayaan negara (national priorities, circumstances and capabilities). Kertas ini mengetengahkan kemajuan pelaksanaan TK seperti yang dilaporkan dalam draf Global Report on Collective Progress in the Implementation of the KMGBF dan First National Report on the Implementation of the Nagoya Protocol to the CBD (1NR). Kertas ini turut membincangkan perkembangan di peringkat antarabangsa termasuk Article 8(j) - Traditional Knowledge, Innovations and Practices, Digital Sequence Information on Genetic Resources (DSI) dan World Intellectual Property Organization Treaty on Intellectual Property, Genetic Resources and Associated Traditional Knowledge (WIPO GRATK) yang akan mempengaruhi perspektif TK pada masa hadapan. Kata kunci: masyarakat peribumi dan tempatan, Konvensyen Kepelbagaian Biologi, Protokol Nagoya, Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework, Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022–2030, Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 5 ABSTRAK Pembentang Jemputan
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 6 PENGETAHUAN TRADISI ORANG ASLI: PENGUKUHAN PENDEKATAN FRIM BAGI MEMENUHI KEPERLUAN SEMASA Ariff Fahmi AB1, Nik Musa'adah M2, Madihah MN2, Intan Nurulhani B1, Fadzureena J2, Firdaus K2, Nor Azura AM3, Nursyahirah Z 3, Nurshahidah MR2, Tan AL2, Siti Nur Aisyah MH2, Saidatul Husni S2, Mailina J2, Mazura MP2, Mohd Azahari F4 & Ling SK2 1Bahagian Perancangan Penyelidikan, 2Bahagian Hasilan Semulajadi, 3Unit Undang-Undang, 4Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), 52109 Kepong, Selangor E-mel: arifffahmi@frim.gov.my Pendokumentasian pengetahuan tradisi (traditional knowledge–TK) berasaskan tumbuhan ubatan orang asli di FRIM, bermula pada tahun 2007, selaras dengan objektif Konvensyen Kepelbagaian Biologi (Convention on Biological Diversity–CBD). Pendokumentasian melibatkan 18 suku kaum orang asli dari 28 lokasi di Semenanjung Malaysia, dengan pengumpulan 2,844 spesimen herbarium dan pengenalpastian 838 spesies tumbuhan ubatan. Pasukan pendokumentasian TK telah menggunakan BRAHMS untuk mengurus rekod sedia ada. Maklumat daripada satu buku TK Orang Asli turut dimasukkan ke dalam Malaysia Traditional Knowledge Digital Library (MyTKDL) di bawah MyIPO bagi menyokong perlindungan defensif. Asas ini perlu terus diperkukuh bagi memenuhi keperluan semasa. Protokol Nagoya berkuat kuasa bagi Malaysia pada 3 Februari 2019, manakala Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 (Akta 795) dikuatkuasakan pada 18 Disember 2020. Penerimaan pakai Triti WIPO GRATK pada 24 Mei 2024 turut menunjukkan perkembangan antarabangsa ke arah pendedahan sumber genetik dan TK berkaitan dalam permohonan paten yang memenuhi syarat triti. Pada masa yang sama, penglibatan komuniti secara berterusan, bukti yang kukuh bagi kerjasama industri serta kebolehkesanan data bagi penyelidik dan pembiaya menjadi pertimbangan penting dalam pengukuhan pendekatan penyelidikan. Kertas ini menghuraikan tiga bidang pengukuhan. Pertama, penambahbaikan pengurusan data berpusat secara dalaman di FRIM bagi menghubungkan rekod BRAHMS dengan elemen dan aktiviti penyelidikan berkaitan untuk menyokong pembuatan keputusan. Kedua, pengukuhan amalan persetujuan termaklum berperingkat melalui pemetaan skop persetujuan, kawalan akses dan semakan penggunaan data, berpandukan prinsip FPIC dan CARE. Ketiga, penyusunan hasil penyelidikan sebagai asas bukti bagi menyokong pemeriksaan paten dan perbincangan perkongsian faedah. Dokumentasi yang lengkap ialah langkah awal, tetapi tidak menjamin perkongsian faedah yang adil dan saksama. Oleh itu, kertas ini mencadangkan supaya asas bukti tersebut diuji melalui satu kes sebenar bersama dengan komuniti dan pihak berkuasa berkaitan untuk menilai kesesuaian proses sebelum dipertimbangkan sebagai rujukan bagi kes lain. Kata kunci: pengetahuan tradisi, orang asli, perkongsian faedah, tadbir urus data, Akta 795, kebolehkesanan rekod
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 7 PEMERKASAAN PERUBATAN TRADISIONAL ORANG ASLI: MEMELIHARA WARISAN PENGETAHUAN TRADISI UNTUK KELESTARIAN GENERASI Suhaila I1, Jaspal K1, Suraya Hani S1, Gan FF1, Wong MX1 & Goh CS2 1Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jalan Cenderasari, 50590 Kuala Lumpur 2Lincoln University College, No. 12, 14, 16 & 18, Jalan SS 6/12, 47301 Petaling Jaya, Selangor E-mel: drsuhaila.ismail@moh.gov.my Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari (BPTK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan beberapa inisiatif sepanjang tahun 2025 bagi memahami dan memperkukuh pengetahuan serta amalan perubatan tradisional dalam kalangan masyarakat orang asli di Semenanjung Malaysia, iaitu melalui penganjuran sesi libat urus bersama dengan pihak berkepentingan serta projek pendokumentasian dan pemetaan pengamal serta amalan perubatan tradisional yang dilaksanakan melalui kolaborasi dengan universiti awam. Sejumlah lima sesi libat urus telah dilaksanakan melibatkan 592 peserta, merangkumi pengamal, pemimpin komuniti, pihak kerajaan dan pihak berkepentingan. Sesi ini menjadi platform penting untuk mendapatkan gambaran secara langsung mengenai amalan, keperluan, cabaran serta aspirasi komuniti. Projek pendokumentasian dan pemetaan pengamal serta amalan perubatan tradisional orang asli pula melibatkan 571 responden kajian. Projek ini merupakan satu inisiatif strategik untuk mendokumentasikan pengetahuan tradisional dan amalan perubatan yang diwarisi serta diamalkan dalam kalangan masyarakat orang asli di Semenanjung Malaysia. Secara keseluruhannya, inisiatif yang dilaksanakan menyokong agenda KKM dalam memperkukuh kesihatan awam, memelihara warisan pengetahuan tradisi dan memperkasakan komuniti secara berterusan untuk manfaat generasi masa kini dan akan datang. Kata kunci: pengetahuan tradisi, perubatan tradisional orang asli, pendokumentasian, libat urus
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 8 PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI BAGI MASYARAKAT ORANG ASLI SEMENANJUNG MALAYSIA Clive Allen W Pertubuhan Belia Orang Asli Malaysia, Wisma MBM, No. 1, Jalan Tasik Permaisuri 2, Bandar Tun Razak, 56000 Kuala Lumpur E-mel: c.allenwhunt@gmail.com, pertubuhanbeliaoam@gmail.com Projek Pemuliharaan dan Pemerkasaan Pengetahuan Tradisi merupakan sebuah platform yang penting bagi masyarakat orang asli di Semenanjung Malaysia. Projek ini memupuk penglibatan merentas generasi daripada golongan belia hingga ke golongan veteran untuk mendokumentasikan serta memelihara khazanah pengetahuan tradisi yang dimiliki oleh setiap suku kaum orang asli. Berteraskan amalan tradisi yang kebiasaannya diwarisi secara lisan, projek ini merekodkan pelbagai proses kearifan tempatan yang dipengaruhi oleh faktor lokaliti. Ini merangkumi pemetaan sumber bahan mentah di Wilayah Tanah Adat, amalan pemuliharaan, serta pantang larang yang mendasari sistem kepercayaan setiap suku kaum. Rekod-rekod ini boleh dijadikan tanda aras dan rujukan asas dalam merangka dasar atau projek pemuliharaan alam sekitar di peringkat nasional, sekali gus menonjolkan sumbangan signifikan masyarakat orang asli kepada negara. Projek ini dilaksanakan menerusi pemilikan dan penglibatan kampung- kampung terpilih yang mewakili 19 suku kaum orang asli di Semenanjung Malaysia. Bagi memastikan ketepatan data dan keandalan proses pemetaan amalan, kepelbagaian pengetahuan dari kampung-kampung berhampiran turut direkodkan, mengambil kira variasi penempatan. Sebagai fasa permulaan, projek ini digerakkan menerusi lima kumpulan wajaran pertama sebelum diperluaskan ke lokasi lain. Pelaksanaannya merangkumi kajian lapangan serta siri bengkel latihan pemindahan keupayaan (capacity building) bagi melatih peserta tempatan dalam teknik pendokumentasian dan pendigitalan. Kaedah pengumpulan data dijalankan secara berstruktur menerusi catatan nota, rakaman audio, fotografi serta videografi. Kata kunci: pemetaan sumber bahan mentah, pantang larang, khazanah pengetahuan tradisi, pendokumentasian dan pendigitalan
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 9 PROGRAM MYIS GOLDEN STI: MEMPERKASAKAN WARGA USIA EMAS MELALUI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI Mohd Rozaidi AR Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Unit L3-E-1A & L3-E-1B, Level 3, HIVE 5 (Enterprise 4), Taman Teknologi MRANTI, 57000 Bukit Jalil, Kuala Lumpur E-mel: aidi@yim.my Malaysia sedang menuju ke arah negara menua; di mana satu daripada tujuh rakyat Malaysia dijangkakan akan berusia melebihi 60 tahun menjelang tahun 2030. Senario ini menuntut strategi mampan bagi memastikan warga usia emas terus produktif, berdaya saing dan tidak terpinggir daripada arus pembangunan ekonomi negara. Sejajar dengan agenda nasional seperti Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021– 2030, Dasar Inovasi Sosial (DIS) 2025–2030, serta Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN) 2026–2030, Program MyIS Golden STI hadir sebagai inisiatif transformatif yang menggabungkan sains, teknologi dan inovasi serta keusahawanan untuk memperkasa warga usia emas demi kesejahteraan sosial yang lebih mampan. Program ini berteraskan empat skop pelaksanaan strategik utama, iaitu (i) Kajian dan pembangunan modul sains, teknologi, inovasi (STI) dan pengetahuan tradisi (TK); (ii) Jejak inovasi dan pembangunan prototaip; (iii) Latihan dan pembangunan kapasiti dalam bidang AI, IoT, robotik dan keusahawanan digital; serta (iv) Sokongan perniagaan dan harta intelek. Pendekatan ini turut memberi penekanan kepada pengenalpastian, dokumentasi, pemeliharaan dan penerapan pengetahuan tradisi (TK) sebagai aset pengetahuan yang bernilai untuk dikomersialkan melalui pendekatan STI secara bertanggungjawab. Program menyasarkan pencapaian menjelang 2026–2030 merangkumi penglibatan 400 warga usia emas yang diperkasakan, pewujudan perniagaan baharu berteknologi, serta pengenalpastian pengetahuan tradisi untuk dikomersialkan. Impak yang diharapkan termasuk transformasi kualiti hidup warga usia emas, peranan aktif mereka dalam ekonomi, pemerkasaan komuniti akar umbi, pengiktirafan TK sebagai aset ekonomi lestari, serta pengurangan kebergantungan melalui latihan dan sokongan teknologi. Secara keseluruhannya, Program MyIS Golden STI berpotensi menjadi model inovasi sosial yang inklusif dalam menyokong pembangunan sosial dan ekonomi negara menua. Kata kunci: warga usia emas, sains, teknologi dan inovasi (STI), pengetahuan tradisi, inovasi sosial, negara menua
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 10 MEMPERKASA AKSES DAN PERKONGSIAN FAEDAH (ABS) MELALUI PROTOKOL KOMUNITI DI SABAH Rodney J, Mohd Idzrai F, Razia AR, Alessandra M & Ken Kartina K Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC), 88400 Kota Kinabalu, Sabah E-mel: rodney.jammy@sabah.gov.my Protokol komuniti merupakan satu dokumen yang dibangunkan oleh anak negeri dan komuniti tempatan Sabah sebagai rujukan dan panduan yang bertujuan memaparkan amalan tradisi dan kebudayaan komuniti, serta pengurusan dan penggunaan sumber biologi yang mampan. Secara umumnya, setiap protokol komuniti adalah berbeza dari segi tradisi, budaya dan kepelbagaian biologi. Protokol komuniti juga dapat memberi gambaran kawasan semula jadi yang terdapat di petempatan komuniti tersebut, serta mengandungi dokumentasi peraturan-peraturan dan undang-undang adat yang diamalkan. Di samping itu, protokol komuniti juga menyatakan hak- hak anak negeri dan komuniti tempatan Sabah selaku pemberi sumber, dan menjadi dokumen rujukan kepada pengguna (pihak luar); khususnya berkenaan dengan perihal akses kepada sumber biologi dan pengetahuan tradisi berkaitan sumber biologi, iaitu merangkumi perolehan keizinan termaklum awal (Prior Informed Consent–PIC), mendapatkan terma persetujuan bersama (Mutually Agreed Term–MAT), serta perkongsian faedah yang diperolehi hasil daripada penggunaannya (Access and Benefit Sharing–ABS). Ini selari dengan kehendak Konvensyen Kepelbagaian Biologi (Convention on Biological Diversity–CBD) dan Protokol Nagoya, serta termaktub dalam Enakmen Biodiversiti Sabah (SBE 2000). Kesimpulannya, protokol komuniti menjadi instrumen penting dalam melindungi sumber biologi dan pengetahuan tradisi berkaitan sumber biologi anak negeri dan komuniti tempatan Sabah menerusi pemerkasaan akses dan perkongsian faedah (ABS). Kata kunci: protokol komuniti, keizinan termaklum awal (PIC), terma persetujuan bersama (MAT), akses dan perkongsian faedah (ABS), pengetahuan tradisi berkaitan sumber biologi
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 11 PEMBANGUNAN SKIM EKOPELANCONGAN BERASASKAN KOMUNITI BAGI KELESTARIAN ALAM SEKITAR DAN PEMERKASAAN EKONOMI KOMUNITI LUAR BANDAR Mohd Parid M1, Mukrimah A2 & Norliyana A2 1Bahagian Inovasi dan Komersialisasi, 2Bahagian Perancangan Penyelidikan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), 52109 Kepong, Selangor E-mel: paridms@frim.gov.my Persekitaran semula jadi termasuk ekosistem hutan, marin dan tanah lembap memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan alam sekitar, mengawal sumber air, memelihara biodiversiti serta menyokong kesejahteraan manusia. Kekayaan sumber semula jadi dan biodiversiti turut mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai produk ekopelancongan yang mampu memberikan manfaat sosial, ekonomi dan alam sekitar. Walau bagaimanapun, usaha pemuliharaan berhadapan dengan cabaran seperti konflik antara keperluan masyarakat dan pemuliharaan sumber semula jadi, selain isu sosioekonomi dan kemiskinan dalam kalangan komuniti luar bandar yang tinggal berhampiran kawasan hutan dan kawasan perlindungan. Kajian baseline menunjukkan bahawa purata pendapatan isi rumah komuniti berkenaan adalah sekitar RM2,145 sebulan dengan kadar kemiskinan sebanyak 23%, antaranya disebabkan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan yang terhad. Sehubungan itu, pendekatan kolaboratif melalui penglibatan aktif masyarakat setempat dalam pengurusan dan pemuliharaan sumber semula jadi perlu diperkukuh. Pembangunan Skim Ekopelancongan Berasaskan Komuniti merupakan satu pendekatan strategik yang mengintegrasikan pemuliharaan alam sekitar dengan pembangunan sosioekonomi komuniti secara lestari. Melalui penglibatan aktif komuniti dalam perancangan, pengurusan dan pelaksanaan aktiviti ekopelancongan, skim ini berupaya mewujudkan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan alternatif berasaskan sumber semula jadi, sekali gus meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan masyarakat setempat. Pada masa yang sama, pendekatan ini dapat memupuk rasa tanggungjawab dan pemilikan bersama terhadap sumber semula jadi, seterusnya memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti dan kelestarian ekosistem untuk jangka panjang. Kata kunci: ekosistem hutan, perkhidmatan ekopelancongan, masyarakat luar bandar
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 12 PENGLIBATAN KOMUNITI TEMPATAN DALAM PEMULIHARAAN WARISAN ANTARA REALITI DAN HARAPAN Sharina AH1, Tanot U1, Zanisah M2, Mohamad Syahrul Nizam I3 & Lee J1 1Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), 2Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), 43600 Bangi, Selangor 3Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan, Universiti Malaysia Sabah, Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu, Sabah E-mel: sharinahalim@ukm.edu.my Usaha memulihara warisan dan memastikan keseimbangannya dalam aktiviti pembangunan secara lestari amat penting dalam menjaga kesejahteraan alam dan manusia. Pelbagai mekanisme telah diambil dalam pemuliharaan warisan seiring dengan aktiviti pembangunan mampan, antaranya melalui taman geologi (geopark) sebagai peraga pembangunan lestari wilayah, tapak warisan dunia, tapak Ramsar dan rizab biosfera. Pengukuran kejayaan terhadap inisiatif melalui mekanisme perkongsian oleh komuniti tempatan, agensi pelaksana, Badan Bukan Kerajaan (Non-Governmental Organisation– NGO) dan pihak berkepentingan amat memberangsangkan. Walau bagaimanapun, di sebalik setiap kejayaan yang diraikan, terdapat pengorbanan besar oleh individu atau sekumpulan komuniti tempatan yang menjadi perintis dan penggerak kepada setiap pencapaian. Persoalannya, sejauh manakah inisiatif yang dilaksanakan oleh komuniti tempatan telah diambil kira dalam memastikan keseimbangan pemuliharaan warisan dan pembangunan oleh pihak berkuasa. Oleh itu, makalah ini bertujuan meneliti usaha yang telah dilaksanakan oleh komuniti tempatan melalui pendekatan pengurusan bersama (co-management) dengan agensi bertanggungjawab. Mekanisme perkongsian oleh komuniti tempatan, khususnya di Langkawi UNESCO Global Geopark, Kinabalu UNESCO Global Geopark, tapak Rizab Biosfera Tasik Chini dan tapak Ramsar Tasek Bera, menjadi sumber utama dalam menjawab persoalan tersebut. Secara keseluruhan, tiga tema utama diperolehi iaitu peranan komuniti dalam pengurusan bersama; penglibatan komuniti dan kelestarian penghidupan; dan pengurusan bersama dalam struktur governans tempatan. Tidak dinafikan, usaha komuniti tempatan dalam menjaga dan memulihara warisan menyumbang kepada pelaksanaan dasar dan polisi pihak berkuasa. Namun, peranan dan usaha komuniti dalam kerangka governans perlu diperkasakan untuk memastikan penglibatan komuniti secara inklusif dan penghidupan mereka adalah terjamin. Justeru, ketelusan dalam proses membuat keputusan serta penetapan dasar mengenai perkara yang akan melibatkan atau menjejaskan komuniti perlu dititikberatkan demi mencapai pembangunan pemuliharaan warisan yang adil, saksama, berlandaskan identiti dan kearifan tempatan. Kata kunci: penghidupan lestari, penglibatan komuniti, kelestarian, governans, pemuliharaan warisan, pengurusan bersama
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 13 INISIATIF FRIM DALAM MELESTARIKAN PENGETAHUAN TRADISI ORANG ASLI DAN MELAYU Nik Musa'adah M1, Madihah MN1, Nurshahidah MR1, Intan Nurulhani B2, Firdaus K1, Tan AL1, Fadzureena J1, Siti Nur Aisyah MH1, Ariff Fahmi AB2, Khadijah Nabilah MZ1, Sofia Aqilah R1 & Ling SK1 1Bahagian Hasilan Semulajadi, 2Bahagian Perancangan Penyelidikan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), 52109 Kepong, Selangor E-mel: musaadah@frim.gov.my Pengetahuan tradisi (TK) merangkumi pelbagai aspek kehidupan yang terbentuk melalui hubungan rapat antara masyarakat dengan persekitaran semula jadi serta pengalaman yang dikumpul dan diwariskan daripada generasi ke generasi. Dalam mengejar arus kemodenan, pengamalan dan penggunaan TK dalam kalangan komuniti orang asli dan Melayu terdedah kepada kemerosotan kerana perubahan gaya hidup dan juga persekitaran kehidupan yang jauh daripada sumber semula jadi. Hal ini menyebabkan generasi muda tidak menyedari kepentingan TK dan juga kurang berminat untuk mendalaminya. Justeru, bagi mengekang TK terutama berkaitan tumbuhan ubatan daripada terhakis, FRIM telah melaksanakan dua projek nasional iaitu pendokumentasian TK berkaitan tumbuhan ubatan dalam kalangan orang asli dan Melayu. Hasil daripada dua projek tersebut, sebanyak 838 spesies tumbuhan telah direkodkan di bawah Projek TK Orang Asli dan sebanyak 671 spesies tumbuhan di bawah Projek TK Melayu. Melalui projek ini juga, program kesedaran dan bengkel pendokumentasian turut dianjurkan bagi mendedahkan masyarakat tentang kepentingan TK serta memupuk kesedaran untuk memelihara dan memulihara ilmu dan warisan ini. Seramai 1,260 peserta orang asli telah terlibat dalam program kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan TK, manakala 668 peserta orang asli telah menyertai bengkel pendokumentasian tumbuhan ubatan. Projek TK Melayu pula telah melibatkan seramai 369 orang pengamal perubatan tradisional Melayu dalam aktiviti pendokumentasian dan pengutipan sampel. Projek ini juga turut mendedahkan kaedah pendokumentasian TK berkaitan tumbuhan ubatan secara saintifik kepada seramai 29 orang pengamal perubatan tradisional Melayu. Selain TK yang diwariskan secara lisan, terdapat juga sebahagian daripada pengetahuan tersebut yang direkodkan dalam bentuk tulisan, termasuk manuskrip perubatan Melayu atau kitab tib yang mengandungi pelbagai maklumat berkaitan amalan perubatan tradisional Melayu. Sehingga kini, FRIM telah berjaya mentransliterasi sebanyak tujuh kitab tib yang mana tiga daripada kitab tib tersebut turut dianalisis. Kesimpulannya, FRIM telah menjalankan pelbagai inisiatif bagi memastikan TK tidak terhakis serta memupuk minat generasi muda untuk meneroka amalan warisan tersebut. Kata kunci: pengetahuan tradisi, orang asli, pengamal perubatan tradisional Melayu, kitab tib
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 14 PROGRAM RAKAN SINERGI PERAK SEJAHTERA 2030 FASA 1: MENYANTUNI ORANG ASLI Harulnizam AR Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Perak dan Kedah, Blok A, Tingkat 2, Bangunan Kerajaan Persekutuan, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, 30000 Ipoh, Perak E-mel: harulnizam@jakoa.gov.my Program rakan sinergi Perak Sejahtera 2030 merupakan satu program yang melibatkan dua punca kuasa di bawah Flagship 18: Perak Sejahtera 2030 Menyantuni orang asli dan Pelan strategik JAKOA 2023–2026. Di bawah program ini, JAKOA memainkan peranan sebagai peneraju atau penyelaras utama kepada pembiaya (Syarikat Berkaitan Kerajaan–GLC, Unit Perancang Ekonomi Negeri–UPEN, Agensi), penggerak (Badan Bukan Kerajaan–NGO, pemain industri) dan komuniti orang asli (penerima manfaat). Sejumlah 27 projek telah dilaksanakan di bawah program ini dari tahun 2023–2026, melibatkan 25 kampung bersama-sama sembilan (9) rakan sinergi telah berjaya menjana pendapatan sebanyak RM 3,667,478,15. Majoriti projek yang dilaksanakan bersama dengan komuniti adalah projek ekopelancongan yang digerakkan oleh koperasi kampung tersebut atau bersama-sama Global Environment Centre (GEC) dengan rakan sinergi iaitu Yayasan Hasnah, Northern Corridor Economic Region (NCER) atau di bawah bimbingan JAKOA. Selain itu, beberapa projek ekonomi yang mengusahakan tanaman serai dan koko, ternakan kelulut dan pembuatan sambal turut dijalankan bersama-sama penduduk kampung atau melalui koperasi. Beberapa rakan sinergi projek ekonomi termasuklah Lembaga Koko Malaysia, Popular Meadow Sdn Bhd., Maraliner Sdn. Bhd., Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Yayasan Bambusa. Terdapat juga satu projek gabungan ekopelancongan dan ekonomi, iaitu Santuari ikan kelah dan mini mart yang dilaksanakan di Kampung Orang Asli Sungai Tiang, Gerik oleh Koperasi Orang Asli Kampung Sungai Tiang Gerik Berhad bersama dengan rakan sinerginya iaitu Perbadanan Taman Negeri Perak (PTPN) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Secara kesimpulannya, program rakan sinergi Perak Sejahtera 2030 didapati berjaya membantu mentransformasi sosioekonomi masyarakat orang asli terlibat. Justeru, program Fasa 2 wajar diteruskan dengan kerjasama rakan sinergi daripada pelbagai sektor dengan penglibatan lebih banyak komuniti orang asli dari lokasi berbeza. Kata kunci: ekopelancongan, ekonomi, serai, koko, kelulut, sambal
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 15 KEJAYAAN PENGKOMERSIALAN PRODUK HASIL RIMBA MASYARAKAT ORANG ASLI Hanim A1 & Intan Nurulhani B2 1Asli MakIntan Enterprise, Kg Orang Asli Sg Buloh, Jalan Hospital, 47000 Sg Buloh, Selangor 2Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), 52109 Kepong, Selangor E-mel: Hanim.Apeng@gmail.com Asli MakIntan Enterprise diasaskan oleh Puan Hanim Apeng sekitar tahun 2016 sebelum didaftarkan pada tahun 2018. Penghasilan produk kraf tangan seperti tikar dan bakul daripada anyaman mengkuang, bertam, nipah, buluh dan rotan, serta produk hasil rimba merupakan fokus utama perniagaannya. Sumber atau hasil rimba ini bukan sahaja diperoleh terus dari hutan semula jadi, malahan turut ditanam bagi memastikan kecukupan sumber bahan mentah dan kelestarian alam. Perniagaan tersebut kemudiannya dikembangkan dengan penghasilan produk berasaskan sabun bertemakan “kuih tradisional” yang diformulasi menggunakan pelbagai jenis pati akar kayu untuk tujuan kecantikan dan perawatan kulit. Sebagai seorang usahawan, pelbagai bidang lain turut diterokai, termasuklah penjualan dan promosi khasiat produk-produk berasaskan hasil rimba, di samping pemberian latihan kepada orang asli bagi meningkatkan taraf ekonomi orang asli. Pelbagai cabaran dihadapi dalam usaha meningkatkan ekonomi komuniti setempat, namun beliau bertekad untuk terus membangun serta memberi inspirasi kepada komuniti orang asli terutamanya dalam bidang pendidikan anak-anak orang asli. Sebagai satu usaha memartabatkan dan melindungi khazanah orang asli, kertas kerja ini memaparkan pengalaman dalam memastikan legasi pengetahuan tradisi berasaskan hasil rimba terus dipertahan dan diperkasa. Kata kunci: orang asli, hasil rimba, kraf tangan, usahawan
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 16 INISIATIF KOALKB DALAM PEMULIHARAAN BIODIVERSITI DAN MEMPERKASA EKONOMI MASYARAKAT ORANG ASLI ATAU SETEMPAT Rani BU Koperasi Orang Asli Lata Kinjang Berhad (KOALKB), Taman Eko Rimba Lata Kinjang, 35300 Chenderiang, Perak Darul Ridzuan, Malaysia E-mel: rani5509ulin@gmail.com Koperasi Orang Asli Lata Kinjang Berhad (KOALKB) merupakan satu model pemuliharaan biodiversiti dan pemerkasaan ekonomi yang diterajui sepenuhnya oleh komuniti orang asli suku Semai di Kampung Lata Kinjang, Chenderiang, Perak. KOALKB ditubuhkan pada Julai 2022 dengan bimbingan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA). Kini, KOALKB menguruskan Taman Eko Rimba Lata Kinjang; satu kawasan rekreasi dengan air terjun setinggi lebih 850 meter yang menjadi nadi kehidupan komuniti Semai sejak hampir seabad. Pengurusan kawasan ini bertunjangkan pengetahuan ekologi tradisi komuniti, termasuk amalan pantang larang yang mengekalkan kelestarian hutan dan sumber air. Penubuhan KOALKB turut melalui proses muafakat dalaman komuniti, melibatkan peranan Tok Batin dan orang tua-tua dalam membina persetujuan bersama sebelum sebarang kerjasama luar dimeterai, selaras dengan pemerolehan prior informed consent yang digariskan dalam Protokol Nagoya. Struktur governans KOALKB memastikan keputusan pengurusan melibatkan persetujuan bersama-sama 71 ahli komuniti, di mana faedah kewangan (pendapatan koperasi mencecah RM1.4 juta pada tahun 2025, menerima purata bilangan pelancong lebih 10,000 orang sebulan) dan bukan kewangan (24 hingga 25 peluang pekerjaan tetap termasuk malim gunung tempatan) dikongsi secara adil dan saksama, selaras dengan prinsip Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 (Akta 795). KOALKB turut diiktiraf sebagai penerima Anugerah Koperasi Terbaik Negeri Perak 2025 dalam kategori pelancongan di atas pencapaiannya dalam pengurusan Taman Eko-Rimba Lata Kinjang. Model ini menunjukkan bagaimana aktiviti pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan ekonomi boleh saling menyokong, bukan bercanggah antara satu sama lain. Kertas kerja ini membentangkan kajian kes perkongsian faedah secara adil dan saksama di peringkat akar umbi oleh KOALKB, sekali gus mencadangkan wawasan lanjutan bernama BIO-WARISAN; cadangan ini merangkumi aktiviti pendokumentasian pengetahuan tradisi secara digital dan penerokaan skim insentif alam sekitar jangka panjang, sebagai asas perbincangan kerjasama dengan pihak berkepentingan. Kata kunci: pengetahuan tradisi, perkongsian faedah, pemuliharaan biodiversiti, ekopelancongan komuniti, orang asli Semai
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 17 ABSTRAK Pembentang Poster
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 18 Senarai Poster BIL TAJUK PEMBENTANGAN SESI 1 PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI P1 Penyaringan Fitokimia Tumbuhan Ubatan Komuniti Jahut sebagai Asas Penerokaan Saintifik Berpandukan Pengetahuan Tradisi Fauziah A, Zunoliza A, Mohamad Nazrin CS, Firdaus K, Siti Nur Aisyah MH, Nor Azlianie A, Hani Idayu B & Nik Musa’adah M P2 Pengetahuan Tradisi Suku Kaum Orang Asli di Semenanjung Malaysia dan Profil Bioaktiviti Spesies Tumbuhan Terpilih: Asas bagi Kajian Lanjutan Mazura MP, Firdaus K, Madihah MN, Intan Nurulhani B, Sofia Aqilah R, Tan AL, Fauziah A, Fadzureena J, Siti Nur Aisyah MH, Khoo MGH & Nik Musa’adah M P3 Penilaian Bioaktiviti dan Keselamatan Tumbuhan Ubatan Berasaskan Pengetahuan Tradisi Suku Kaum Semai dan Semoq Beri di Pahang Fadzureena J, Intan Nurulhani B, Nik Musa’adah M, Firdaus K, Siti Nur Aisyah MH, Mazura MP, Ihsan Safwan K, Nurhanan Murni Y, Madihah MN, Tan AL, Mastura M, Khoo MGH & Ariff Fahmi AB P4 Penilaian Antidiabetes Terhadap Tumbuhan Ubatan Berasaskan Pengetahuan Tradisi Orang Asli Semai, Semoq Beri dan Jakun Firdaus K, Khadijah Nabilah MZ, Intan Nurulhani B, Madihah MN, Tan AL, Fadzureena J & Nik Musa’adah M P5 Penilaian Saintifik Potensi Antiradang Tumbuhan Ubatan Berdasarkan Pengetahuan Tradisi Orang Asli Suku Kaum Jakun di Mersing, Johor Sofia Aqilah R, Mazura MP, Siti Nur Aisyah MH, Madihah MN, Intan Nurulhani B, Firdaus K, Ummul Nazrah AR, Fadzureena J & Nik Musa’adah M P6 Penilaian Aktiviti Biologi Ramuan Aktif Berasaskan ChromolinEx Khoo MGH, Getha K, Saidatul Husni S, Ihsan Safwan K, Mazura MP, Siti Nur Aisyah MH, Khadijah Nabilah MZ, Rohana S, Salbiah M, Juliza M, Firdaus K, Ummu Hani B & Fadzureena J P7 Penilaian Aktiviti Pemerangkapan Radikal DPPH dan Kandungan Fenolik Total bagi Tumbuhan Terpilih Berdasarkan Pengetahuan Tradisi Ihsan Safwan K, Nik Musa’adah M, Nurshahidah MR, Nor Azlianie AA & Juliza M P8 Penilaian Ekstrak Kulit Batang Brachypterum microphyllum terhadap Aktiviti Antiproliferasi ke atas Sel Kanser Ovari SKOV-3: Pengaruh Umur Pokok Nurhanan MY, Nor Jannah S, Fadzureena J, Fauziah A, Ariff Fahmi AB & Madihah MN P9 Kulit Batang Batei: Potensi Sebagai Agen Perencat Enzim Xanthine Oxidase Berdasarkan Usia Pokok Siti Nur Aisyah MH, Fadzureena J, Ariff Fahmi AB & Mazura MP
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 19 P10 Kajian Minyak Pati dan Hidrosol daripada Infloresen (Jambak Bunga) Zingiber spectabile Mailina J, Mazura MP, Norulaiman Y, Mohammad Faridz ZP, Nuraini AB, Saidatul Husni S, Madihah MN, Intan Nurulhani B, Siti Salwana H, Fadzureena J & Nik Musa’adah M P11 Formulasi Produk Gel Berdasarkan Pengetahuan Tradisi Kegunaan Zingiber spectabile Griff. Saidatul Husni S, Norulaiman Y, Mailina J, Norhazwani MH, Nik Musa’adah M & Fatimah MA P12 Daripada Sumber Semula Jadi ke Partikel Nano—Meneroka Potensi Ekstrak Daun Subang Nenek dalam Penghasilan Partikel Nano Perak yang Stabil dan Bermanfaat Noor Rasyila MN, Nur ‘Alyaa Hakimah N & Che Azurahanim CA SESI 2 KELESTARIAN PENGETAHUAN TRADISI P13 Menjelang Dua Dekad Pendokumentasian Pengetahuan Tradisi Orang Asli: Memperkasa Warisan secara Holistik Intan Nurulhani B, Madihah MN, Nik Musa’adah M, Tan AL, Firdaus K, Siti Nur Aisyah MH, Fadzureena J, Ariff Fahmi AB, Ummul Nazrah AR & Nurshahidah MR P14 Merungkai Penggunaan Flora dalam Kalangan Masyarakat Orang Asli daripada Tiga Komuniti Terpilih Tan AL, Madihah MN, Intan Nurulhani B, Ummul Nazrah AR, Nurshahidah MR, Firdaus K, Siti Nur Aisyah MH, Norzielawati S & Rohana S P15 Rawatan Batuk: Perbandingan Materia Medika Pengamal Perubatan Tradisional Melayu dengan Kitab Tib Nurshahidah MR, Nik Musa’adah M, Khadijah Nabilah MZ, Madihah MN, Intan Nuruhani B, Firdaus K, Fadzureena J, Siti Nur Aisyah MH, Rohana S & Abdul Hayat MS P16 Kegunaan Pokok Inai (Lawsonia inermis) dalam Penjagaan Kesihatan Masyarakat Melayu di Semenanjung Malaysia Khadijah Nabilah MZ, Nik Musa’adah M, Nurshahidah MR, Madihah MN, Norbaiah MY, Dionysia M, Abdul Hayat MS, Tan AL, Fadzureena J, Intan Nurulhani B, Firdaus K & Siti Nasuha Z P17 Pemerkasaan Penyelidikan Pengetahuan Tradisi Orang Asli: Strategi Kerjasama Lapangan, Penyediaan, Depositori dan Pemeliharaan Spesimen Herbarium Ummul-Nazrah AR, Madihah MN, Intan Nurulhani B, Rohana S, Nik Musa’adah M & Mohd Hairul MA P18 Teknik Pembiakan Spesies Tumbuhan Pengetahuan Tradisi (TK) Terpilih Nadiah Salmi N, Madihah MN, Intan Nurulhani B, Nurzayanah Adilah MZ, Sures Kumar M, Noraliza A & Nashatul Zaimah NA
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 20 P19 Penilaian Prestasi Pertumbuhan dan Kemandirian Germplasma Pokok Hutan Terpilih di Kawasan Terbuka (SPF Maran, Pahang) dan Kawasan Teduhan (Taman Etnobotani FRIM, Selangor) Madihah MN, Intan Nurulhani B, Nadiah Salmi N, Tan AL, Nik Musa’adah M, Firdaus K, Siti Nur Aisyah MH, Fadzureena J & Ariff Fahmi AB P20 Penilaian Pertumbuhan Anak Liar Paku Lata (Tectaria semipinnata) di Tapak Semaian Menggunakan Media Tanaman Berbeza bagi Penghasilan Bahan Tanaman Berkualiti Sures Kumar M, Fadzureena J, Nadiah Salmi N, Noraliza A, Siti Salwana H, Siti Nur Aisyah MH, Madihah MN, Intan Nurulhani B & Firdaus K P21 Pertumbuhan dan Kemandirian Brachypterum microphyllum di Bawah Litupan Kanopi Berbeza di SPF Selandar, Melaka Dasrul Iskandar D, Ariff Fahmi AB, Mohd Azahari F, Nur Syahirah A, Rosdi K, Amir Sariffudin K, Ahmad Azizul A, Faridah Ahmad A & Mukrimah A P22 Sifat Kayu Brachypterum microphyllum Berumur 7 Tahun yang Ditanam di Malaysia Nordahlia AS, Fadzureena J, Ong CB, Asniza M, Ariff Fahmi AB, Nur Syauqina Syasya MY & Mohd Khairun Anwar U P23 Evolusi Model Perhutanan Sosial Malaysia: Inisiatif ke arah Pemuliharaan dan Pembangunan Sosioekonomi Komuniti Huda Farhana MM, Silvester Jemat AA, Elne Betrece J, Norliyana A, Mukrimah A & Nor Fazlina MN
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 21 PENYARINGAN FITOKIMIA TUMBUHAN UBATAN KOMUNITI JAHUT SEBAGAI ASAS PENEROKAAN SAINTIFIK BERPANDUKAN PENGETAHUAN TRADISI Fauziah A1, Zunoliza A1, Mohamad Nazrin CS1, Firdaus K2, Siti Nur Aisyah MH2, Nor Azlianie A1, Hani Idayu B1 & Nik Musa’adah M2 1Program Kawalan Kualiti Herba; 2Program Bioprospek, Bahagian Hasilan Semulajadi, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), 52109 Kepong, Selangor E-mel: fauziahabdullah@frim.gov.my Pengetahuan tradisi komuniti orang asli mengenai penggunaan tumbuhan hutan merupakan sumber bernilai dalam penerokaan biodiversiti dan penemuan sumber semula jadi yang berpotensi untuk dibangunkan. Pendekatan bioprospek berpandukan rekod pengetahuan tradisi (traditional knowledge-guided bioprospecting) membolehkan pemilihan tumbuhan untuk kajian saintifik dilakukan secara lebih berfokus. Kajian ini bertujuan menjalankan penyaringan awal fitokimia terhadap lima tumbuhan terpilih daripada dokumentasi pengetahuan tradisi komuniti Jahut, iaitu bruloj (TPKK001), tapak gajah merah (TPKK040), misai ali (TPKK046), tapak itik (TPKK053) dan asam kumbang (PKK057). Bahagian tumbuhan yang berkaitan disaring secara kualitatif bagi enam kumpulan utama metabolit sekunder, iaitu alkaloid, saponin, flavonoid, tanin, triterpena dan steroid. Kumpulan metabolit ini dipilih kerana mewakili kelas fitokimia utama yang boleh memberikan gambaran awal mengenai kepelbagaian ciri kimia tumbuhan dan membantu menentukan keutamaan serta strategi untuk kajian lanjut. Hasil kajian menunjukkan variasi profil fitokimia antara tumbuhan dan bahagian tumbuhan yang dianalisis. Alkaloid dan flavonoid dikesan secara meluas, manakala tanin dan steroid menunjukkan kehadiran yang ketara pada beberapa sampel. Kumpulan sebatian triterpena tidak dikesan dalam sampel yang diuji. Secara keseluruhannya, saringan fitokimia berfungsi sebagai langkah awal dalam strategi bioprospek untuk menterjemahkan pengetahuan tradisi kepada kajian saintifik secara sistematik. Hasil penyaringan ini membantu mengenal pasti tumbuhan dan bahagian yang berpotensi untuk pemprofilan kimia serta penilaian bioaktiviti selanjutnya. Pendekatan ini menyediakan asas saintifik bagi penerokaan sumber biodiversiti berasaskan pengetahuan tradisi komuniti Jahut secara lebih terarah dan berasaskan bukti. Kata kunci: pengetahuan tradisi, tumbuhan ubatan, orang asli, Jahut, penyaringan fitokimia
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 22 PENGETAHUAN TRADISI SUKU KAUM ORANG ASLI DI SEMENANJUNG MALAYSIA DAN PROFIL BIOAKTIVITI SPESIES TUMBUHAN TERPILIH: ASAS BAGI KAJIAN LANJUTAN Mazura MP1, Firdaus K1, Madihah MN1, Intan Nurulhani B2, Sofia Aqilah R1, Tan AL1, Fauziah A1, Fadzureena J1, Siti Nur Aisyah MH1, Khoo MGH1 & Nik Musa’adah M1 1Bahagian Hasilan Semulajadi, 2Bahagian Perancangan Penyelidikan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), 52109 Kepong, Selangor E-mel: mazura@frim.gov.my Orang asli merupakan komuniti yang kaya dengan ilmu pengetahuan tradisi dan berkemahiran mengenai pengurusan alam semula jadi dalam menjalani kehidupan harian. Amalan perubatan tradisional merupakan salah satu tradisi yang masih diamalkan oleh masyarakat orang asli di Malaysia secara turun-temurun. Melalui inisiatif projek pendokumentasian pengetahuan tradisi berasaskan tumbuhan ubatan yang telah bermula sejak tahun 2007 sehingga kini, FRIM telah berjaya mendokumentasikan pengetahuan tradisi bagi kesemua 18 suku kaum dan tambahan replikasi untuk lapan suku kaum orang asli, melibatkan 28 petempatan. Sebanyak 125 spesies tumbuhan telah disaring secara menyeluruh untuk potensi bioaktiviti dan 10 produk prototaip daripada empat spesies telah dihasilkan dengan mengambil kira komitmen terhadap tiga objektif iaitu memelihara kepelbagaian biologi, penggunaan sumber semula jadi secara mampan dan perkongsian faedah secara adil dan saksama. Sebanyak enam spesies (KPM 013, PKKL 074, SBT 057, SSKT 027, BBS 063 dan SPBP 016) telah disenaraikan sebagai calon untuk kajian lanjutan berdasarkan data kegunaan perubatan tradisional, profil awal saringan bioaktiviti dan tahap keselamatan serta kebolehdapatan sumber bahan mentah dalam hutan simpan bagi memastikan spesies yang dipilih bukan sahaja mempunyai potensi terapeutik yang baik tetapi juga boleh dimanfaatkan tanpa menjejaskan kelestarian sumber. Kata kunci: pengetahuan tradisi, profil biologi, perubatan tradisional, kajian lanjutan
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 23 PENILAIAN BIOAKTIVITI DAN KESELAMATAN TUMBUHAN UBATAN BERASASKAN PENGETAHUAN TRADISI SUKU KAUM SEMAI DAN SEMOQ BERI DI PAHANG Fadzureena J1, Intan Nurulhani B2, Nik Musa’adah M1, Firdaus K1, Siti Nur Aisyah MH1, Mazura MP1, Ihsan Safwan K1, Nurhanan Murni Y1, Madihah MN1, Tan AL1, Mastura M1, Khoo MGH1 & Ariff Fahmi AB2 1Bahagian Hasilan Semulajadi, 2Bahagian Perancangan Penyelidikan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), 52109 Kepong, Selangor. E-mel: fadzureena@frim.gov.my Kajian ini dijalankan untuk menilai secara saintifik potensi bioaktiviti dan keselamatan tumbuhan ubatan yang digunakan secara tradisional oleh masyarakat orang asli Semai di Kampung Sungai Relong, Cameron Highlands dan Semoq Beri di Kampung Embus, Maran, Pahang. Sebanyak sebelas spesies tumbuhan terpilih; iaitu lima spesies daripada komuniti Semai dan enam spesies daripada komuniti Semoq Beri, telah dinilai menggunakan pendekatan penyaringan bioaktiviti secara in vitro. Ekstrak akueus dan metanol daripada bahagian tumbuhan terpilih telah disediakan untuk penilaian aktiviti antioksidan, antimikrob, antiradang, antidiabetik dan antikanser, di samping penilaian sitotoksisiti bagi penentuan aspek keselamatan. Bagi tumbuhan daripada komuniti Semai, tiga daripada lima spesies menunjukkan aktiviti perencatan enzim α- glukosidase yang tinggi, iaitu dalam julat 71–99% bagi hampir keseluruhan ekstrak. Ekstrak metanol daun dan batang lerher serta ekstrak metanol batang buih turut menunjukkan aktiviti terhadap sel kanser ovari, payudara dan kolorektal. Lerher juga menunjukkan aktiviti perencatan enzim hyaluronidase, selari dengan potensi antiradang yang berkaitan dengan penggunaan tradisinya. Bagi komuniti Semoq Beri pula, ekstrak akueus akar dan daun meroyan panas menunjukkan aktiviti perencatan enzim hyaluronidase yang tinggi iaitu sebanyak 87.34% dan 84.23% masing-masing, manakala ekstrak metanol daunnya pula menunjukkan aktiviti perencatan enzim xanthine oxidase melebihi 100%. Kesemua ekstrak kacip fatimah daun halus panjang menunjukkan aktiviti perencatan enzim α-glukosidase melebihi 90%, sementara sampuk kelendaq dan meroyan panas turut menunjukkan aktiviti antidiabetik yang tinggi. Beberapa ekstrak, khususnya meroyan panas, juga menunjukkan aktiviti terhadap sel kanser tetapi mempunyai kesan ke atas sel normal ginjal dan hati. Justeru itu, penilaian keselamatan yang lebih terperinci adalah diperlukan. Secara keseluruhannya, hasil kajian ke atas tumbuhan ubatan yang dikenal pasti melalui pengetahuan tradisi daripada kedua-dua komuniti didapati mempunyai pelbagai aktiviti biologi dan berpotensi untuk penyelidikan lanjut, khususnya melalui pencirian fitokimia, kajian mekanisme tindakan, penilaian secara in vivo dan kajian toksikologi. Kata kunci: orang asli, pengetahuan tradisi, tumbuhan ubatan, bioaktiviti, keselamatan
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 24 PENILAIAN ANTIDIABETES TERHADAP TUMBUHAN UBATAN BERASASKAN PENGETAHUAN TRADISI ORANG ASLI SEMAI, SEMOQ BERI DAN JAKUN Firdaus K1, Khadijah Nabilah MZ1, Intan Nurulhani B2, Madihah MN1, Tan AL1, Fadzureena J1 & Nik Musa’adah M1 1Bahagian Hasilan Semulajadi, 2Bahagian Perancangan Penyelidikan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), 52109 Kepong, Selangor. E-mel: firdauskamarul@frim.gov.my Tumbuhan ubatan telah lama digunakan sebagai materia medika dalam amalan kesihatan tradisional, khususnya dalam kalangan masyarakat orang asli. Pengetahuan turun‑temurun ini bukan sahaja membentuk asas penjagaan kesihatan mereka, tetapi turut menjadi sumber ilmu yang sangat bernilai untuk penyelidikan moden. Melalui pendekatan saintifik yang sistematik, pendokumentasian pengetahuan tradisi orang asli serta penyaringan bioprospek menjadi langkah awal dalam mengesahkan khasiat tumbuhan dan meneroka potensi baharu setiap spesies tumbuhan berkenaan. Objektif kajian ini adalah bagi menilai aktiviti antidiabetes terhadap 17 spesies tumbuhan ubatan terpilih yang digunakan secara tradisional oleh tiga komuniti orang asli, iaitu Semai (Kg Sg Relong, Cameron Highlands), Semoq Beri (Kg Embus, Maran) dan Jakun (Kg Punan, Mersing). Analisis yang dijalankan menggunakan ujian perencatan enzim α-amilase dan α-glukosidase menunjukkan sebanyak sembilan spesies iaitu rakop (Oxyspora cf. curtisii), lerher (Piper sp.), buih (Cissus cf. discolor), kemerlog (Hanguana cf. malayana), sampuk kelendaq (Maclurodendron porteri), kacip fatimah daun halus panjang (Ardisia sp.), meroyan panas (Luvunga crassifolia), kedembak (Nauclea subdita) dan pelongot (Pternandra echinata) mempunyai potensi sebagai agen antidiabetes. Penentuan potensi ini dibuat berdasarkan keupayaan sekurang-kurangnya satu ekstrak bahagian tumbuhan memberi kesan perencatan yang tinggi terhadap kedua-dua aktiviti enzim penghadaman karbohidrat. Kajian lanjutan wajar diteruskan bagi mengenal pasti mekanisme tindakan dan mencirikan sebatian bioaktif dalam ekstrak terpilih. Penyelidikan berterusan ini dapat menyokong pembangunan inovasi berteraskan sumber biologi negara dan memastikan warisan ilmu komuniti orang asli dimanfaatkan secara beretika. Kata kunci: tumbuhan ubatan, bioprospek, antidiabetes, α-amilase, α-glukosidase
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 25 PENILAIAN SAINTIFIK POTENSI ANTIRADANG TUMBUHAN UBATAN BERDASARKAN PENGETAHUAN ORANG ASLI SUKU KAUM JAKUN DI MERSING, JOHOR Sofia Aqilah R1, Mazura MP1, Siti Nur Aisyah MH1, Madihah MN1, Intan Nurulhani B2, Firdaus K1, Ummul Nazrah AR3, Fadzureena J1 & Nik Musa’adah M1 1Bahagian Hasilan Semulajadi, 2Bahagian Perancangan Penyelidikan, 3Bahagian Biodiversiti Hutan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), 52109 Kepong, Selangor. E-mel: sofia@frim.gov.my Penggunaan tumbuhan ubatan tidak lagi asing dalam kalangan masyarakat orang asli untuk merawat pelbagai jenis penyakit termasuklah penyakit yang berkaitan dengan keradangan. Namun begitu, ilmu perubatan tradisional kini kian pupus akibat daripada pengamalan perubatan moden yang lebih mudah diperoleh sumbernya. Oleh itu, bagi memulihara khazanah ilmu perubatan tradisional ini, pasukan penyelidik projek pendokumentasian pengetahuan tradisi FRIM telah menjalankan proses pendokumentasian dan pembuktian secara saintifik ke atas penggunaan tumbuhan ubatan yang diamalkan oleh orang asli suku kaum Jakun di Kampung Orang Asli Punan, Mersing, Johor. Sebanyak enam spesies tumbuhan ubatan telah dipilih bagi penilaian bioasai antiradang secara in vitro. Penilaian ini merangkumi asai perencatan enzim lipoksigenase (LOX), xanthine oxidase (XO), hyaluronidase (HYA) dan asai perencatan denaturasi protein (PD). Hasil kajian mendapati daripada 36 ekstrak yang diuji pada kepekatan sampel 100 μg/mL, terdapat beberapa bahagian tumbuhan ubatan yang menunjukkan bacaan aktiviti perencatan yang tinggi. Sebanyak empat ekstrak merekodkan kadar peratusan perencatan enzim LOX yang tinggi (70 sehingga 100%), diikuti oleh empat lagi ekstrak dengan kadar aktiviti sederhana pada julat 40 hingga 69%. Bagi bioasai XO pula, sebanyak empat ekstrak merekodkan kadar peratusan perencatan yang tinggi diikuti dengan lima ekstrak dengan kadar peratusan sederhana. Kedua-dua bioasai HYA dan PD tidak merekodkan sebarang ekstrak dengan kadar peratusan aktiviti yang tinggi. Namun, bioasai HYA mencatatkan empat ekstrak yang mempunyai kadar aktiviti sederhana. Secara keseluruhannya, penemuan ini memberikan data asas saintifik berkaitan potensi antiradang ke atas tumbuhan ubatan yang digunakan oleh suku kaum Jakun. Kata kunci: tumbuhan ubatan, antiradang, bioasai, pengetahuan tradisi
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 26 PENILAIAN AKTIVITI BIOLOGI RAMUAN AKTIF BERASASKAN CHROMOLINEX Khoo MGH, Getha K, Saidatul Husni S, Ihsan Safwan K, Mazura MP, Siti Nur Aisyah MH, Khadijah Nabilah MZ, Rohana S, Salbiah M, Juliza M, Firdaus K, Ummu Hani B & Fadzureena J Bahagian Hasilan Semulajadi, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), 52109 Kepong, Selangor E-mel: mary@frim.gov.my ChromolinEx merupakan ekstrak piawai yang dihasilkan daripada pokok kapal terbang (Chromolaena odorata (L.) R.M.King & H.Rob., famili Asteraceae). Ianya diformulasi menjadi ramuan aktif dengan penambahan propilina glikol. Aktiviti biologi ramuan aktif tersebut kemudian dinilai secara in vitro. Ramuan aktif berasaskan ChromolinEx dapat menghalang pertumbuhan bakteria Gram-positif (Staphylococcus aureus rintang methicillin, strain rujukan) dan Gram-negatif (Escherichia coli, strain FRIM-MCC) dalam ujian resapan telaga (well-diffusion). Ia juga menunjukkan kesan antioksidan yang tinggi berdasarkan asai sistem pemerangkapan superoksida dan radikal 2,2-difenil-2-pikrilhidrazil (DPPH). Ramuan aktif tersebut turut melindungi sel fibroblas kulit manusia (HDFa) daripada tekanan oksidatif aruhan hidrogen peroksida dan menggalakkan migrasi sel keratinosit manusia dalam asai calar. Selain itu, ia menunjukkan kesan antiradang melalui asai perencatan enzim lipoxygenase dan xanthine oxidase. Walau bagaimanapun, kesan perencatan terhadap enzim hyaluronidase dan denaturasi protein adalah rendah; begitu juga dengan perencatan terhadap enzim yang berkaitan dengan penuaan iaitu elastase dan collagenase. Jumlah kandungan flavonoid (TFC) dan fenolik (TPC) dalam ramuan aktif berasaskan ChromolinEx yang direkodkan ialah 580 ± 57 mg QE/100 g dan 1,100 ± 16 mg GAE/100 g. Dari segi keselamatan, ramuan aktif tersebut dikelaskan sebagai bukan penyebab iritasi kulit (non-irritant) tetapi berkemungkinan menunjukkan kesan fototoksik pada kepekatan yang tinggi. Kesimpulannya, ramuan aktif ChromolinEx menunjukkan aktiviti biologi dengan potensi terapeutik tetapi pada kepekatan yang tinggi, ia juga berkemungkinan menunjukkan kesan fototoksik. Kata kunci: Chromolaena odorata, antibakteria, antioksidan, migrasi sel, antiradang .
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 27 PENILAIAN AKTIVITI PEMERANGKAPAN RADIKAL DPPH DAN KANDUNGAN FENOLIK TOTAL BAGI TUMBUHAN TERPILIH BERDASARKAN PENGETAHUAN TRADISI Ihsan Safwan K, Nik Musa’adah M, Nurshahidah MR, Nor Azlianie AA & Juliza M Bahagian Hasilan Semulajadi, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), 52109 Kepong, Selangor E-mel: ihsan@frim.gov.my Kajian ini menilai potensi antioksidan berdasarkan aktiviti pemerangkapan radikal 2,2-difenil-2- pikrilhidrazil (DPPH) dan kandungan fenolik total (TPC) bagi tumbuhan ubatan terpilih berasaskan pengetahuan tradisi di Malaysia. Ekstrak akueus dan metanol daripada seringan (Flemingia strobilifera), capa (Blumea balsamifera), pisang kelat (Musa paradisiaca), tulang- tulang (Cissus quadrangularis) dan cemumar (Micromelum minutum), serta beberapa minyak pati terpilih, telah dinilai potensi aktiviti pemerangkapan radikal DPPH dan kandungan TPC. Variasi yang ketara dalam aktiviti antioksidan diperhatikan berdasarkan spesies tumbuhan, bahagian tumbuhan dan pelarut pengekstrakan. Aktiviti pemerangkapan radikal DPPH yang dicatatkan adalah di antara 5.38 ± 0.49% hingga 88.41 ± 0.30% pada kepekatan 100 mg/mL. Ekstrak akueus daun seringan menunjukkan aktiviti pemerangkapan radikal DPPH tertinggi (88.41 ± 0.30%) dan kandungan TPC tertinggi (9,336 ± 94 mg GAE/100 g), diikuti oleh ekstrak akueus bahagian atas (aerial) capa (78.04 ± 0.57%; 7,633 ± 48 mg GAE/100 g) dan daun cemumar (71.53 ± 0.49%; 7,583 ± 41 mg GAE/100 g). Sebaliknya, ekstrak akueus batang tulang-tulang menunjukkan aktiviti pemerangkapan radikal DPPH (5.38 ± 0.49%) dan kandungan TPC (1,618 ± 71 mg GAE/100 g) terendah. Secara keseluruhan, ekstrak akueus menunjukkan purata aktiviti pemerangkapan radikal DPPH dan kandungan TPC yang lebih tinggi berbanding ekstrak metanol, walaupun perbezaan tersebut tidak signifikan secara statistik (p > 0.05). Hubungan berkadar terus yang kuat diperhatikan antara kandungan TPC dengan aktiviti pemerangkapan radikal DPPH (r = 0.894, p < 0.001) menunjukkan bahawa sebatian fenolik berkemungkinan penyumbang ketara kepada aktiviti pemerangkapan radikal. Keputusan kajian ini menunjukkan ekstrak seringan, khususnya bahagian daunnya, ekstrak akueus capa dan ekstrak akueus daun cemumar ialah sumber sebatian fenolik dan antioksidan semula jadi yang berpotensi untuk kajian lanjut. Kata kunci: aktiviti antioksidan, kandungan fenolik total, pemerangkapan radikal DPPH, pengetahuan tradisi
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 28 PENILAIAN EKSTRAK KULIT BATANG BRACHYPTERUM MICROPHYLLUM TERHADAP AKTIVITI ANTIPROLIFERASI KE ATAS SEL KANSER OVARI SKOV-3: PENGARUH UMUR POKOK Nurhanan MY1, Nor Jannah S1, Fadzureena J1, Fauziah A1, Ariff Fahmi AB2 & Madihah MN1 1Bahagian Hasilan Semulajadi, 2Bahagian Perancangan Penyelidikan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), 52109 Kepong, Selangor E-mel: hanan@frim.gov.my Penemuan potensi nilai ubatan baharu, iaitu kesan antiproliferasi ke atas sel-sel kanser ovari (SKOV-3) daripada ekstrak etanol kulit batang dan buah Brachypterum microphyllum (kod UGG004), adalah hasil daripada kajian bioprospek terhadap 273 ekstrak daripada 82 spesies tumbuhan terpilih yang dikutip daripada 18 suku kaum orang asli di Semenanjung Malaysia dari tahun 2012 sehingga tahun 2019. B. microphyllum telah digunakan secara tradisional oleh suku kaum Semai untuk merawat kudis buta. Sehubungan itu, inisiatif penanaman spesies ini telah dimulakan di Stesen Penyelidikan FRIM di Selandar, Melaka bagi memastikan sumber B. microphyllum dapat diperoleh secara berterusan. Kajian terhadap kesan antiproliferasi ke atas sel kanser ovari kemudiannya diteruskan menggunakan ekstrak kulit batang B. microphyllum daripada pokok berumur 30, 40, 42, 48 dan 54 bulan, dengan tiga pokok berbeza bagi setiap peringkat umur. Aktiviti antiproliferasi yang tinggi terhadap sel kanser ovari didapati konsisten bagi pokok berumur 54 bulan, dengan nilai IC₅₀ kurang daripada 20 μg/mL. Walaupun ekstrak daripada pokok berumur 30, 40, 42 dan 48 bulan turut menunjukkan aktiviti antiproliferasi terhadap sel kanser ovari, terdapat ekstrak daripada pokok pada peringkat umur tersebut yang tidak menunjukkan aktiviti yang ketara, dengan nilai IC₅₀ melebihi 20 μg/mL. Kajian fitokimia sedang dijalankan bagi menentukan sama ada terdapat korelasi antara kehadiran sebatian kimia tertentu dengan aktiviti antiproliferasi yang ditunjukkan oleh ekstrak daripada pokok pada peringkat umur yang berbeza. Penemuan ini memberikan asas saintifik bagi menentukan umur penuaian optimum B. microphyllum, sekali gus menyokong penggunaannya secara lestari; sebagai sumber pelbagai guna, kulit batang untuk penemuan ubat antikanser dan batangnya untuk penghasilan kayu. Kata kunci: Brachypterum microphyllum, UGG004, ekstrak etanol, kulit batang, umur pokok, sel kanser ovari SKOV-3
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 29 KULIT BATANG BATEI: POTENSI SEBAGAI AGEN PERENCAT ENZIM XANTHINE OXIDASE BERDASARKAN USIA POKOK Siti Nur Aisyah MH1, Fadzureena J1, Ariff Fahmi AB2 & Mazura MP1 1Bahagian Hasilan Semulajadi, 2Bahagian Perancangan Penyelidikan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), 52109 Kepong, Selangor E-mel: sitinuraisyah@frim.gov.my Secara tradisi, komuniti orang asli (OA) suku kaum Semai, yang menetap di Kampung Ulu Geroh, Gopeng, Perak menggunakan pokok batei sebagai bahan perubatan bagi merawat kudis dengan merebus kulit batang dan akar untuk dijadikan mandian. Kajian saringan bioprospek yang dijalankan oleh FRIM mendapati kulit batang batei mempunyai potensi sebagai agen antiinflamasi, antioksidan dan antidiabetik. Xanthine oxidase merupakan antara enzim yang terlibat dalam penghasilan spesies oksigen reaktif (Reactive Oxygen Species–ROS) dan asid urik. Aktiviti enzim yang berlebihan boleh menyumbang kepada peningkatan tekanan oksidatif yang merosakkan sel dan tisu badan, serta meningkatkan pembentukan asid urik. Oleh itu, perencatan enzim xanthine oxidase berpotensi untuk mengurangkan pembentukan asid urik serta tekanan oksidatif. Dalam kajian ini, kulit batang batei dikaji bagi menilai aktiviti perencatan enzim xanthine oxidase pada pelbagai peringkat usia pokok yang ditanam secara ladang. Sampel kulit batang diambil pada usia 30, 40, 48, 54 dan 84 bulan, seterusnya diekstrak menggunakan larutan etanol. Aktiviti antiinflamasi ekstrak-ekstrak tersebut dinilai berdasarkan keupayaannya merencat aktiviti enzim xanthine oxidase. Hasil kajian mendapati bahawa aktiviti perencatan enzim xanthine oxidase menunjukkan pelbagai variasi mengikut usia pokok. Peningkatan yang jelas diperhatikan mula berlaku pada usia pertengahan iaitu 48 bulan dengan mencapai 100% perencatan pada kepekatan 100 μg/mL. Aktiviti perencatan tertinggi juga dapat diperhatikan dengan jelas pada ekstrak kulit batang daripada pokok tua/matang iaitu pada usia 84 bulan dengan nilai IC50 adalah 28.26 ± 7.68 μg/mL. Kesimpulannya, potensi kulit batang batei untuk bertindak sebagai agen perencat aktiviti enzim xanthine oxidase adalah bergantung kepada usia pokok. Pokok batei pada usia pertengahan (48 bulan) sehingga peringkat matang/tua (84 bulan) terbukti mempunyai kesan perencatan yang optimum. Sehubungan dengan itu, penelitian daripada aspek biojisim dicadangkan bagi menentukan usia tuaian yang optimum dengan mengambil kira aktiviti bioprospek serta hasil bahan mentah. Kata kunci: pokok batei, orang asli, Semai, enzim xanthine oxidase
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 30 KAJIAN MINYAK PATI DAN HIDROSOL DARIPADA INFLORESEN (JAMBAK BUNGA) ZINGIBER SPECTABILE Mailina J1, Mazura MP1, Norulaiman Y1, Mohammad Faridz ZP1, Nuraini AB1, Saidatul Husni S1, Madihah MN1, Intan Nurulhani B2, Siti Salwana H3, Fadzureena J1 & Nik Musa’adah M1 1Bahagian Hasilan Semulajadi, 2Bahagian Perancangan Penyelidikan, 3Bahagian Bioteknologi Perhutanan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), 52109 Kepong, Selangor E-mel: mailina@frim.gov.my Zingiber spectabile Griff. (Zingiberaceae), yang dikenali dalam kalangan komuniti orang asli dengan nama vernakular seperti carwaq, cadak, selindin, tepus tanek dan sewog, merupakan tumbuhan herba tradisional yang berpotensi sebagai sumber bahan semula jadi untuk pembangunan produk. Dalam kajian ini, infloresen Z. spectabile daripada dua peringkat kematangan, iaitu muda/kuning (IZSK) dan matang/merah (IZSM), diperoleh dari Nurseri Tapak Semaian Utama FRIM, kemudian diproses dan disuling melalui kaedah penyulingan air bagi menghasilkan minyak pati dan hidrosol. Hasil minyak pati adalah rendah iaitu 0.07–0.08% v/w. Profil kimia meruap bagi minyak pati ditentukan menggunakan kaedah kromatografi gas (GC) dan kromatografi gas/spektrometri jisim (GC/MS), manakala komponen meruap hidrosol dianalisis menggunakan teknik headspace/solid-phase microextraction (HS/SPME)–GC/MS. Minyak pati IZSK didominasi oleh kandungan kimia iaitu sabinena (23.92%), α-pinena (9.55%), (E)-β-osimena (5.86%), (E,E)-α-farnesena (5.60%) dan α-zingiberena (5.52%). Sebaliknya, komponen utama minyak pati IZSM yang dikenal pasti merupakan sebatian kimia spatulenol (37.38%), p-simena (11.15%), kariofilen oksida (5.79%) dan alloaromadendrena epoksida (5.33%). Hasil analisis HS/SPME–GC/MS terhadap hidrosol IZSK dan IZSM masing-masing menunjukkan kehadiran komponen kimia utama iaitu terpinen-4-ol (24.52%) dan kripton (46.12%) berdasarkan profil yang diperoleh. Hidrosol yang diperolehi dalam kuantiti yang banyak (1-2L) turut diuji dengan bioasai antiradang. Hasil ujian perencatan denaturasi protein yang dijalankan menunjukkan bahawa hidrosol IZSK dan IZSM mempunyai aktiviti perencatan yang tinggi, iaitu 78.43% dan 80.66% masing-masing. Selain itu, kedua-dua hidrosol tidak menunjukkan pencemaran oleh bakteria Staphylococcus aureus dan Pseudomonas aeruginosa. Secara keseluruhannya, hasil kajian menunjukkan bahawa hidrosol Z. spectabile, khususnya daripada infloresen pada peringkat muda dan matang, mempunyai potensi sebagai bahan semula jadi dengan aktiviti biologi yang sesuai untuk diterokai dalam pembangunan produk topikal. Kata kunci: Zingiber spectabile, hidrosol, minyak pati, denaturasi protein, bakteria
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 31 FORMULASI PRODUK GEL BERDASARKAN PENGETAHUAN TRADISI KEGUNAAN ZINGIBER SPECTABILE GRIFF. Saidatul Husni S, Norulaiman Y, Mailina J, Norhazwani MH, Nik Musa’adah M & Fatimah MA 1Bahagian Hasilan Semulajadi, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), 52109 Kepong, Selangor E-mel: saidatul@frim.gov.my Zingiber spectabile Griff. atau dikenali sebagai tepus tanah telah digunakan secara tradisi oleh suku kaum Jahai, Temiar, Semai, Semelai dan Mendriq untuk meredakan bengkak, panas badan dan demam. Kajian makmal oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mendapati bahawa ekstrak piawai rizom dan air sulingan (hidrosol) jambak bunga Z. spectabile mempunyai aktiviti anti-penyahaslian protein yang menyokong pengetahuan tradisi serta amalan komuniti orang asli tersebut. Kertas kerja ini membincangkan kajian formulasi gel untuk melegakan kesakitan, mengurangkan bengkak, meredakan kepanasan dan menyejukkan kulit. Proses bermula dengan pembangunan formulasi gel asas yang menggabungkan polimer, pelarut, humektan, agen penyejuk, pengawet, pengubah pH dan pewarna semula jadi. Seterusnya, formulasi gel Z. spectabile dihasilkan dengan penambahan bahan aktif iaitu ekstrak piawai dan hidrosol Z. spectabile ke dalam gel asas tersebut. Produk yang terhasil dinilai melalui ujian prestasi dan kualiti yang merangkumi pencirian produk, penilaian pH, indeks biasan, ujian kestabilan, serta ujian bebanan mikrob dan logam berat. Hasil kajian berjaya menemukan satu formulasi gel dengan bahan aktif Z. spectabile yang sesuai. Walau bagaimanapun, ujian keberkesanan dan penerimaan pengguna perlu dijalankan bagi memastikan produk ini benar- benar berkualiti, berkesan dan selamat. Kata kunci: Zingiber spectabile, formulasi, gel, prestasi produk, meredakan bengkak
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 32 DARIPADA SUMBER SEMULA JADI KE PARTIKEL NANO—MENEROKA POTENSI EKSTRAK DAUN SUBANG NENEK DALAM PENGHASILAN PARTIKEL NANO PERAK YANG STABIL DAN BERMANFAAT Noor Rasyila MN1,2, Nur ‘Alyaa Hakimah N3 & Che Azurahanim CA4 1Bahagian Hasilan Semulajadi, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), 52109 Kepong, Selangor 2Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2), Universiti Putra Malaysia (UPM), 43400 Serdang, Selangor 3Kulliyyah Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Kuantan, 25200 Kuantan, Pahang 4Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), 43400 Serdang, Selangor E-mel: rasyila@frim.gov.my Penggunaan tumbuhan ubatan tradisional untuk menghasilkan partikel nano perak (AgNPs) secara teknologi hijau menawarkan pendekatan yang mesra alam, selamat dan stabil berbanding kaedah kimia yang lazimnya menghasilkan sisa berbahaya. Tumbuhan Acmella uliginosa atau dikenali sebagai subang nenek, kaya dengan sebatian semula jadi seperti spilanthol, flavonoid dan sebatian fenolik. Bahan-bahan ini bertindak sebagai agen pemproses semula jadi yang berupaya menukarkan perak (Ag) kepada saiz nano serta mengekalkan kestabilannya. Kelebihan utama teknologi hijau ini ialah ia memanfaatkan khazanah ilmu tradisi tanpa menggunakan bahan kimia toksik. Kajian saringan awal telah dijalankan ke atas empat bahagian utama subang nenek iaitu daun, bunga, batang dan akar di bawah keadaan piawai (1% ekstrak, 1 mM argentum nitrat (AgNO3), pH 8 dan suhu 60°C selama 1 jam) bagi menentukan bahagian tumbuhan yang paling sesuai membentuk AgNPs. Pembentukan partikel disahkan melalui perubahan warna larutan serta analisis saiz dan cas permukaan zarah. Hasil saringan mendapati bahawa ekstrak daun ialah bahagian paling optimum untuk menghasilkan saiz zarah terkecil iaitu 1064 nm berbanding bunga (2497 nm), batang (2229 nm) dan akar (2650 nm). Memandangkan saiz zarah dalam saringan awal ini masih belum mencapai julat skala nano sebenar (<100 nm), pengoptimuman parameter tindak balas seperti kepekatan, pH, suhu dan masa tindak balas perlu dijalankan untuk mengecilkan lagi saiz zarah. Walau bagaimanapun, bahagian daun tetap dipilih untuk proses pengoptimuman lanjut kerana ia berjaya menghasilkan saiz terendah serta cas permukaan negatif paling tinggi iaitu -24.69 mV berbanding bunga (-21.06 mV), batang (- 19.22 mV) dan akar (-19.22 mV). Nilai cas permukaan ini penting untuk menghalang zarah daripada menggumpal dan memastikan larutan kekal stabil. Kesimpulannya, ujian saringan ini membuktikan bahawa pengetahuan tradisi penggunaan daun subang nenek mempunyai potensi besar untuk dikembangkan bagi menghasilkan teknologi nano hijau yang selamat dan bermanfaat. Kata kunci: Acmella uliginosa, subang nenek, partikel nano perak (AgNPs), teknologi hijau, saringan, pengoptimuman
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 33 MENJELANG DUA DEKAD PENDOKUMENTASIAN PENGETAHUAN TRADISI ORANG ASLI: MEMPERKASA WARISAN SECARA HOLISTIK Intan Nurulhani B1, Madihah MN2, Nik Musa’adah M2, Tan AL2, Firdaus K2, Siti Nur Aisyah MH2, Fadzureena J2, Ariff Fahmi AB1, Ummul Nazrah AR3 & Nurshahidah MR2 1Bahagian Perancangan Penyelidikan, 2 Bahagian Hasilan Semulajadi, 3Bahagian Biodiversiti Hutan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), 52109 Kepong, Selangor E-mel: intannurulhani@frim.gov.my Bermula pada tahun 2007 dan kini memasuki tahun ke-19, pelaksanaan Projek Pendokumentasian Pengetahuan Tradisi (Traditional Knowledge–TK) Orang Asli Semenanjung Malaysia, pelbagai perubahan serta penambahbaikan telah dilaksanakan untuk memantapkan lagi aktiviti projek tersebut. Projek TK yang dahulunya memberi fokus kepada tumbuhan ubatan dan beraroma, kini meluaskan skop dengan memfokuskan fungsi tumbuh-tumbuhan dalam kalangan masyarakat orang asli termasuklah sebagai sumber makanan, pakaian, peralatan (memburu/binaan/kraftangan) dan spiritual. Pendekatan kajian turut diperkemas dengan kaedah yang lebih sistematik bagi memastikan maklumat yang didokumenkan lebih tepat kerana diperoleh terus daripada pengamal atau pemunya ilmu. Ciri morfologi, gambar dan koordinat tumbuhan di habitat asal direkodkan sementara keratan tumbuhan tersebut diambil untuk dijadikan spesimen herbarium. Spesimen herbarium yang terhasil akan dijadikan rujukan untuk semakan nama saintifik, dimuat naik dalam pangkalan data, seterusnya membantu dalam perlindungan harta intelek melalui penerbitan buku berkenaan tumbuhan yang diguna pakai. Aktiviti lain seperti inventori tumbuhan dalam hutan simpan, analisis makmal, kajian pembaikbiakan, kultur tisu, pemeliharaan tumbuhan secara ex-situ, penubuhan ladang perintis serta penyediaan draf perjanjian akses dan perkongsian faedah berjalan seiring dengan usaha dokumentasi bagi memastikan TK orang asli terus diperkasa dan berpotensi menjadi salah satu sumber ekonomi yang memacu pendapatan orang asli pada masa hadapan. Kata kunci: pengetahuan tradisi, tumbuh-tumbuhan, orang asli
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 34 MERUNGKAI PENGGUNAAN FLORA DALAM KALANGAN MASYARAKAT ORANG ASLI DARIPADA TIGA KOMUNITI TERPILIH Tan AL, Madihah MN, Intan Nurulhani B, Ummul Nazrah AR, Nurshahidah MR, Firdaus K, Siti Nur Aisyah MH, Norzielawati S & Rohana S Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), 52109 Kepong, Selangor E-mel: tanal@frim.gov.my Penggunaan tumbuhan dalam kalangan masyarakat orang asli dalam pelbagai aspek kehidupan, antaranya sebagai bahan binaan rumah (anyaman kelarai, atap), peralatan berburu (sumpit, bubu, pancing), kraf tangan (bakul, ambong, bujam, simpai, ukiran topeng/arca kayu), sewang (tempok, selimpang) dan permainan/peralatan muzik (centong, pensol, genggong) ada dipamerkan di muzium orang asli. Namun, pembangunan negara yang pesat serta penerokaan kawasan hutan sedikit sebanyak telah mengubah corak kehidupan masyarakat orang asli. Justeru, objektif kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti kepelbagaian flora yang masih digunakan oleh masyarakat orang asli, khususnya sebagai ubatan dan dalam kehidupan harian. Pendokumentasian flora telah dijalankan ke atas tiga komuniti orang asli dari Kampung Punan, Mersing, Johor (Jakun), Kampung Bukit Lagong, Kepong, Selangor (Temuan) dan Kampung Terbol & Kampung Pian, Kuala Krau, Pahang (Jahut). Kutipan sampel flora dan dokumentasi penggunaannya bersama-sama sekumpulan pengamal perubatan tradisional terpilih dengan pasukan penyelidik pengetahuan tradisi FRIM telah dijalankan di sekitar kampung dan juga di kawasan hutan simpan (HS Labis dan HS Labis Tambahan, Johor; HS Bukit Lagong, Selangor; Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal, Pahang). Sampel tumbuhan yang dikutip seterusnya diproses dan dijadikan spesimen herbarium untuk membantu ahli botani mengenal pasti spesies tumbuhan yang digunakan. Hasil pendokumentasian ke atas ketiga-tiga komuniti yang dijalankan berjaya merungkai 168 spesies daripada 70 famili. Tiga famili tertinggi yang direkodkan ialah daripada kaum palma (Arecaceae-15 spesies), kaum kopi (Rubiaceae-10 spesies) dan kaum halia/tepus (Zingiberaceae-7 spesies). Sebanyak 369 kegunaan telah direkodkan; antaranya sebagai ubatan (72.6%), makanan dan masakan (11.1%), kraf tangan dan bahan binaan (7.9%) serta kepercayaan dan ritual (4.1%). Penggunaan flora ubatan yang direkodkan merangkumi tujuh kategori berikut, iaitu penyakit tertentu, kesihatan wanita, tonik, kegunaan luaran, kesihatan lelaki, kesihatan kanak-kanak dan buang angin. Kesimpulannya, didapati masyarakat orang asli masih bergantung kepada flora dalam kehidupan mereka. Kata kunci: Temuan, Jakun, Jahut, ubatan, makanan, kraf tangan
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 35 RAWATAN BATUK: PERBANDINGAN MATERIA MEDIKA PENGAMAL PERUBATAN TRADISIONAL MELAYU DENGAN KITAB TIB Nurshahidah MR, Nik Musa’adah M, Khadijah Nabilah MZ, Madihah MN, Intan Nuruhani B, Firdaus K, Fadzureena J, Siti Nur Aisyah MH, Rohana S & Abdul Hayat MS Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), 52109 Kepong, Selangor E-mel: nurshahidah@frim.gov.my Ilmu perubatan tradisional Melayu direkodkan dan diwariskan melalui sumber lisan dan bertulis, termasuk pengetahuan yang diamalkan oleh pengamal perubatan tradisional Melayu (PTM) serta yang didokumentasikan dalam kitab tib. Kajian ini bertujuan menganalisis dan membandingkan materia medika yang digunakan bagi rawatan batuk dalam amalan PTM dengan yang direkodkan dalam kitab tib. Data PTM diperoleh melalui temu bual separa berstruktur dan pensampelan tumbuhan ubatan di lapangan bersama-sama pengamal PTM di Semenanjung Malaysia yang dijalankan dari tahun 2013–2025, manakala data kitab tib diperoleh melalui hasil transliterasi dan analisis kandungan tiga buah manuskrip daripada koleksi Perpustakaan Negara Malaysia, iaitu MSS 3022, MSS 1292 dan MSS 2999. Kitab tib ini dianggarkan ditulis pada abad ke-19 hingga awal abad ke-20 Masihi. Sejumlah 34 pengamal PTM telah dikenal pasti mempunyai preskripsi berkaitan batuk, melibatkan 42 preskripsi, manakala sejumlah 27 preskripsi dikenal pasti daripada ketiga-tiga kitab tib. Maklumat berkaitan tumbuhan ubatan, bahagian yang digunakan, kaedah penyediaan, cara penggunaan serta bahan dan peralatan lain yang digunakan turut dianalisis. Sebanyak 37 takson tumbuhan ubatan telah dikenal pasti daripada preskripsi pengamal PTM dan 46 takson daripada kitab tib, menghasilkan 83 takson unik merentasi kedua-dua sumber. Daripada jumlah tersebut, hanya lima spesies tumbuhan ubatan yang dikongsi oleh kedua-dua sumber−Allium sativum, Kaempferia galanga, Momordica charantia, Piper betle dan Piper sarmentosum. Hasil ini menunjukkan tahap pertindihan komposisi takson tumbuhan yang rendah antara materia medika dalam amalan PTM dengan rekod kitab tib, dengan sebahagian besar takson hanya terdapat dalam salah satu sumber. Secara keseluruhannya, melalui perbandingan antara sumber lisan kini dengan dokumentasi bertulis terdahulu memperlihatkan bahawa kedua-dua sumber mempunyai komposisi materia medika yang tersendiri, dengan hanya lima spesies tumbuhan (6.02%) dikongsi daripada keseluruhan 83 takson unik yang dikenal pasti. Kajian ini menyediakan asas untuk memahami kesinambungan dan kepelbagaian materia medika dalam perubatan tradisional Melayu serta menyokong usaha dokumentasi dan pemeliharaan pengetahuan tradisi berkaitan tumbuhan ubatan. Kata kunci: Allium sativum, Kaempferia galanga, Momordica charantia, Piper betle, Piper sarmentosum
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 36 KEGUNAAN POKOK INAI (LAWSONIA INERMIS) DALAM PENJAGAAN KESIHATAN MASYARAKAT MELAYU DI SEMENANJUNG MALAYSIA Khadijah Nabilah MZ1, Nik Musa’adah M1, Nurshahidah MR1, Madihah MN1, Norbaiah MY, Dionysia M2, Abdul Hayat MS1, Tan AL1, Fadzureena J1, Intan Nurulhani B1, Firdaus K1 & Siti Nasuha Z 1Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), 52109 Kepong, Selangor 2Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jalan Sultan Salahuddin, 50660 Kuala Lumpur E-mel: khadijahnabilah@frim.gov.my Pokok inai (henna/Lawsonia inermis) ialah sejenis pokok yang terkenal dengan kelebihan perubatannya dan telah lama dimanfaatkan oleh pengamal tradisional di seluruh dunia termasuk di kawasan Asia Selatan, Afrika Utara dan Timur Tengah. Di Malaysia inai sering digunakan sebagai bahan untuk penjagaan dan perhiasan diri. Walau bagaimanapun, penggunaan inai dalam perubatan tradisional tidak didokumentasikan secara sistematik. Justeru, matlamat kajian ini ialah untuk menganalisis penggunaan pokok inai dalam amalan tradisional masyarakat Melayu, terutama dalam penjagaan kesihatan badan. Kajian ini berdasarkan hasil pendokumentasian yang telah dilaksanakan pada tahun 2013 hingga 2015 di seluruh Semenanjung Malaysia melalui proses temu bual dengan pengamal perubatan tradisional Melayu (PTM) dan aktiviti pengutipan tumbuhan ubatan bagi tujuan penyediaan spesimen herbarium serta koleksi hidup atau germplasma. Kajian mendapati sebanyak 239 preskripsi atau ramuan dikenal pasti hasil maklum balas daripada 165 orang pengamal PTM yang menggunakan pokok inai dalam kehidupan seharian bagi tujuan penjagaan kesihatan. Berdasarkan maklumat yang diperoleh, majoriti pokok inai digunakan sebagai ramuan mandian selepas bersalin (32.2%) dan ubat demam kuning (23.0%). Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kegunaan yang hanya diamalkan oleh sebilangan kecil pengamal sahaja. Antaranya ialah sebagai, 1) penjagaan selepas bersalin: mengecutkan peranakan, basuhan luka, pelapik tungku, menghentikan darah nifas, ramuan param, ramuan bertangas (22 ramuan); 2) penjagaan kesihatan: mandian bunga/wap, awet muda, dalaman wanita dan lelaki (15 ramuan); 3) rawatan komplementari: batu karang, barah perut, masalah buah pinggang, jantung, paru-paru, ketumbuhan dalam daging (14 ramuan); dan 4) ramuan majun (7 ramuan). Kebanyakan pengamal menggunakan bahagian daun (86.6%) sebagai ramuan perubatan dengan pelbagai cara penyediaan. Secara keseluruhan, pokok inai banyak digunakan oleh pengamal PTM dalam pelbagai bentuk sediaan dan preskripsi. Maklumat ini akan menjadi asas platform penyelidikan farmakologi moden yang memastikan keselamatan dan kawalan kualiti terjamin secara sistematik. Kata kunci: pengetahuan tradisi, tumbuhan ubatan, pengamal perubatan tradisional Melayu, pokok inai, Lawsonia inermis, rawatan kesihatan
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 37 PEMERKASAAN PENYELIDIKAN PENGETAHUAN TRADISI ORANG ASLI: STRATEGI KERJASAMA LAPANGAN, PENYEDIAAN, DEPOSITORI DAN PEMELIHARAAN SPESIMEN HERBARIUM Ummul-Nazrah AR1, Madihah MN2, Intan Nurulhani B3, Rohana S2, Nik Musa’adah M2 & Mohd Hairul MA1 1Bahagian Biodiversiti Hutan, 2Bahagian Hasilan Semulajadi, 3Bahagian Perancangan Penyelidikan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), 52109 Kepong, Selangor E-mel: ummul@frim.gov.my Herbarium merupakan pusat penyimpanan koleksi spesimen kering tumbuhan dan rekod jangka panjang terhadap perubahan flora. Herbarium berfungsi sebagai pusat rujukan utama flora, arkib penyelidikan dan sumber pengajaran dan pembelajaran. Herbarium bukan sekadar tempat simpanan yang dinamik untuk rujukan penamaan taksonomi terkini, malah merupakan arkib fizikal dan bertulis yang merekodkan pengetahuan etnobotani masyarakat peribumi dan tempatan. Penyelidikan pengetahuan tradisi orang asli terhadap tumbuhan ubatan sering berdepan dengan cabaran di lapangan kerana pengutipan sampel yang tidak mengikut piawaian taksonomi, justeru menyukarkan kerja-kerja pengecaman nama saintifik tumbuhan. Kerjasama dalam memperkasa penyelidikan ini adalah menerusi kaedah perkongsian pengetahuan dan kepakaran di lapangan bersama-sama pengamal tempatan, ahli botani dan pasukan herbarium. Fokus utama diberikan kepada bimbingan teknik pengutipan sampel untuk penyediaan spesimen herbarium, pengecaman, perekodan data tumbuhan yang lengkap dan pemprosesan sampel di lapangan secara sistematik sebelum depositori ke Herbarium Kepong (KEP) di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia. Sebagai rakan kerjasama, pasukan penyelidik projek TK orang asli FRIM telah menyerahkan sebanyak 693 spesimen herbarium merangkumi 100 spesies untuk depositori di KEP. Inisiatif ini membolehkan ilmu pengetahuan tradisi masyarakat orang asli dilindungi serta menjadi rujukan melalui pangkalan data biodiversiti kebangsaan. Pihak projek turut mendapat manfaat dari segi ketepatan nama saintifik bagi spesimen herbarium yang disahkan oleh pakar taksonomi selain daripada pemeliharaan fizikal spesimen herbarium tersebut mengikut protokol herbarium antarabangsa. Penyimpanan serta perkongsian maklumat yang selamat serta praktikal membolehkan komuniti dan penyelidik memelihara khazanah ilmu pengetahuan tradisi orang asli serta mengekalkan kelestarian warisan etnobotani. Kata kunci: flora, koleksi, pengetahuan tradisi, tumbuhan ubatan
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 38 TEKNIK PEMBIAKAN SPESIES TUMBUHAN PENGETAHUAN TRADISI (TK) TERPILIH Nadiah Salmi N, Madihah MN, Intan Nurulhani B, Nurzayanah Adilah MZ, Sures Kumar M, Noraliza A & Nashatul Zaimah NA Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), 52109 Kepong, Selangor E-mel: nadiah@frim.gov.my Tumbuhan yang mempunyai nilai pengetahuan tradisi (traditional knowledge, TK) telah lama digunakan oleh masyarakat tempatan untuk pelbagai kegunaan dan merupakan sumber tumbuhan yang penting untuk dipelihara. Salah satu usaha untuk memastikan tumbuhan ini terus tersedia adalah melalui penubuhan plot germplasma, iaitu kawasan yang menghimpunkan dan memelihara sumber tumbuhan terpilih untuk penanaman, pembiakan dan penyelidikan. Kajian ini turut mengetengahkan teknik pembiakan bagi tiga spesies tumbuhan TK terpilih, iaitu pelali urat (Ardisia miqueliana), miyan sesat (Ardisia villosa) dan paku lata (Tectaria semipinnata). Pelali urat dan miyan sesat dibiakkan menggunakan keratan batang. Teknik ini melibatkan pemilihan pokok induk yang sihat, penyediaan keratan batang, penggunaan bahan penggalak akar yang sesuai, penanaman dalam media dan penjagaan sehingga keratan mengeluarkan akar serta pucuk baharu. Paku lata pula dibiakkan menggunakan spora matang yang dikumpulkan daripada daun dan kemudian ditabur pada media yang lembap. Kelembapan media dijaga sehingga spora berkembang menjadi anak paku yang sesuai untuk dipindahkan ke bekas tanaman. Teknik pembiakan yang diperoleh melalui kajian ini dapat membantu menambah bahan tanaman di samping mengurangkan kebergantungan kepada kutipan tumbuhan dari habitat asal. Perkongsian teknik yang mudah dan praktikal ini diharapkan dapat membantu dalam usaha memperbanyak, menanam dan memelihara spesies tumbuhan TK agar sumber tumbuhan yang bernilai kepada masyarakat dapat terus dikekalkan untuk generasi akan datang. Kata kunci: pengetahuan tradisi, germplasma, pembiakan spesies tumbuhan, keratan batang, spora
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 39 PENILAIAN PRESTASI PERTUMBUHAN DAN KEMANDIRIAN GERMPLASMA POKOK HUTAN TERPILIH DI KAWASAN TERBUKA (SPF MARAN, PAHANG) DAN KAWASAN TEDUHAN (TAMAN ETNOBOTANI FRIM, SELANGOR) Madihah MN1, Intan Nurulhani B2, Nadiah Salmi N3, Tan AL1, Nik Musa’adah M1, Firdaus K1, Siti Nur Aisyah MH1, Fadzureena J1 & Ariff Fahmi AB2 1Bahagian Hasilan Semulajadi, 2 Bahagian Perancangan Penyelidikan, 3Bahagian Bioteknologi Perhutanan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), 52109 Kepong, Selangor E-mel: madihah@frim.gov.my Seiring dengan usaha mendokumentasi pengetahuan tradisi secara saintifik dengan penglibatan sepenuhnya daripada komuniti orang asli dalam penyediaan spesimen herbarium, perlindungan ex-situ tumbuhan ubatan turut ditekankan dalam projek ini. Bagi memastikan kelestarian sumber tumbuhan ubatan yang digunakan, usaha membawa keluar sumber anak pokok tumbuhan ubatan terpilih (germplasma) dari habitat asalnya, iaitu kawasan hutan telah dilaksanakan dan ditempatkan di dua lokasi berbeza. Selain daripada tujuan perlindungan ex- situ, reka bentuk penanaman anak liar yang dikutip dari pelbagai jenis hutan dan lokasi ini turut dijadikan sebagai satu kajian khusus bagi menilai prestasi kemandirian serta pertumbuhan tumbuhan hutan berkenaan setelah ditanam di luar habitat asalnya. Spesies tumbuhan terpilih ini telah melalui analisis kandungan kimia dan biologi di makmal, dan hasil awal menunjukkan potensi untuk kajian lanjutan. Antara jenis tumbuhan ubatan terpilih ialah jenis herba iaitu pokok kacang/gaut; jenis pokok iaitu badis, batai, kasai, merian tua, kayu kencing manis, lekang hahah (B), kerentah roi, mampat, durian bagan, kayu wol, ceglog; dan jenis renek yang terdiri daripada spesies kemalik. Spesies-spesies tumbuhan berpotensi ini ditanam di dua plot kajian berbeza iaitu kawasan terbuka (terdedah 100% di bawah cahaya matahari) di SPF Maran manakala kawasan teduhan (50-70% di bawah cahaya matahari) di Laman TK, Taman Etnobotani FRIM, Kepong. Kertas kerja ini akan membandingkan prestasi pertumbuhan dan kemandirian spesies-spesies yang dinyatakan di dua plot perlindungan ex-situ tersebut. Kata kunci: pengetahuan tradisi, tumbuhan ubatan, tumbuhan berpotensi, orang asli
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 40 PENILAIAN PERTUMBUHAN ANAK LIAR PAKU LATA (TECTARIA SEMIPINNATA) DI TAPAK SEMAIAN MENGGUNAKAN MEDIA TANAMAN BERBEZA BAGI PENGHASILAN BAHAN TANAMAN BERKUALITI Sures Kumar M1, Fadzureena J2, Nadiah Salmi N1, Noraliza A1, Siti Salwana H1, Siti Nur Aisyah MH2, Madihah MN2, Intan Nurulhani B3 & Firdaus K2 1Bahagian Bioteknologi Perhutanan, 2Bahagian Hasilan Semulajadi, 3Bahagian Perancangan Penyelidikan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), 52109 Kepong, Selangor E-mel: sures@frim.gov.my Paku lata (Tectaria semipinnata) merupakan salah satu spesies tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan tradisional dalam kalangan masyarakat orang asli di Malaysia. Pengetahuan mengenai penggunaan tumbuhan ini merupakan sebahagian daripada khazanah pengetahuan tradisi yang wajar dipelihara dan disokong melalui usaha pemuliharaan sumber tumbuhan. Kebergantungan kepada sumber liar bagi mendapatkan spesies ini berpotensi memberi tekanan kepada populasi semula jadi sekiranya kuantiti pengambilannya banyak dan dilakukan secara berterusan. Sehubungan itu, pembangunan teknik pembiakan dan penanaman di tapak semaian merupakan satu pendekatan penting bagi menyediakan sumber bahan tanaman secara terkawal serta menyokong usaha konservasi spesies. Kajian ini dijalankan bagi menilai kesesuaian media tanaman terhadap pertumbuhan dan kadar kelangsungan hidup anak liar paku lata yang dikumpulkan dari habitat semula jadi, sebagai langkah awal dalam pembangunan teknik pembiakan dan pemuliharaan spesies ini. Kajian telah dijalankan di Tapak Semaian Utama, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, menggunakan reka bentuk eksperimen tiga rawatan media tanaman. Tiga media tanaman yang diuji ialah Media 1, iaitu tanah asal dari Kampung Lubok Legong; Media 2, iaitu campuran tanah, pasir dan cocopeat pada nisbah 1:1:2; dan Media 3, iaitu campuran tanah dan cocopeat pada nisbah 1:2. Parameter pertumbuhan yang dinilai merangkumi bilangan daun, panjang daun dan kadar kemandirian. Hasil kajian menunjukkan Media 3 mencatatkan purata bilangan daun tertinggi (7.97 ± 3.23) serta purata panjang daun tertinggi (34.15 ± 10.89 cm), diikuti Media 2 dan Media 1. Walau bagaimanapun, analisis statistik menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan (p > 0.05) antara media tanaman bagi parameter pertumbuhan yang dinilai. Secara keseluruhannya, Media 3 menunjukkan kecenderungan yang lebih baik terhadap pertumbuhan vegetatif paku lata, walaupun perbezaan antara media adalah tidak signifikan secara statistik. Dapatan ini menyediakan maklumat awal dalam pembangunan teknik penanaman dan pembiakan paku lata di tapak semaian, yang seterusnya dapat menyokong usaha pemuliharaan spesies serta penyediaan sumber bahan tanaman secara lebih terkawal dan lestari. Kata kunci: Tectaria semipinnata, paku lata, pengetahuan tradisi, pembiakan, pemuliharaan, media tanaman
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 41 PERTUMBUHAN DAN KEMANDIRIAN BRACHYPTERUM MICROPHYLLUM DI BAWAH LITUPAN KANOPI BERBEZA DI SPF SELANDAR, MELAKA Dasrul Iskandar D1, Ariff Fahmi AB2, Mohd Azahari F3, Nur Syahirah A2, Rosdi K1, Amir Sariffudin K1, Ahmad Azizul A1, Faridah Ahmad A1 & Mukrimah A2 1Bahagian Bioteknologi Perhutanan, 2Bahagian Perancangan Penyelidikan, 3Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) 52109 Kepong, Selangor E-mel: dasrul@frim.gov.my Brachypterum microphyllum (sin. Derris microphylla), daripada famili Fabaceae, merupakan spesies yang mempunyai nilai etnobotani kerana kulit batangnya digunakan secara tradisi oleh komuniti orang asli Semai di Kampung Ulu Geroh, Gopeng, Perak untuk merawat masalah kulit. Pembangunan produk prototaip berasaskan pengetahuan tradisi tersebut telah meningkatkan keperluan terhadap sumber bahan mentah yang lebih terjamin, memandangkan bekalan dari habitat asal adalah terhad. Justeru, kajian ini dilaksanakan bagi menilai pertumbuhan dan kemandirian B. microphyllum melalui penanaman di Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Selandar, Melaka, sebagai asas untuk menilai potensinya sebagai sumber bahan mentah. Sebanyak 200 anak pokok, majoritinya sumber daripada kutipan anak liar dan dipulihara oleh peserta komuniti, telah ditanam dalam lapan sub-plot dengan jarak tanaman 3 × 3m dan 4 × 4m pada Disember 2017. Pemantauan dilaksanakan melalui 21 siri bancian sehingga Disember 2023, ketika pokok mencapai umur 6 tahun. Parameter yang direkodkan ialah ketinggian pokok, diameter pada paras dada (DBH) batang dan status kemandirian. Keadaan litupan kanopi pokok sedia ada turut dinilai menggunakan imej dron yang diperoleh pada September 2020. Sebanyak 16 batang pokok telah dituai untuk kajian bioaktiviti. Justeru itu, kadar kemandirian hanya dicerap daripada 184 batang pokok. Kadar kemandirian didapati menurun daripada 81% pada umur 3 tahun kepada 73% pada umur 5 tahun dan seterusnya 54% pada umur 6 tahun. Pokok berumur 6 tahun mencatatkan purata ketinggian pada 7.0 m dan purata DBH batang pada 6.2 cm. Perbezaan pertumbuhan yang ketara diperhatikan antara sub-plot berdasarkan peratusan litupan kanopi. Sub-plot 2A dengan litupan kanopi terendah, iaitu 6%, menunjukkan prestasi pertumbuhan terbaik dengan purata ketinggian pada 15.9 m, purata DBH batang pada 11.9 cm dan kadar kemandirian yang tinggi iaitu 90%. Sebaliknya, tujuh sub-plot lain yang mempunyai litupan kanopi lebih tinggi, antara 52% hingga 82%, merekodkan purata ketinggian antara 2.4 hingga 8.5 m dan DBH batang antara 3.0 hingga 7.5 cm. Walau bagaimanapun, kadar kemandirian tidak menunjukkan hubungan yang konsisten dengan peratusan litupan kanopi. Pertambahan ketinggian dan DBH pokok juga didapati adalah minimum dari umur 5 hingga 6 tahun. Pada bancian terakhir, 37% pokok telah didapati mengalami serangan anai-anai manakala 54% pokok mengalami kerosakan pucuk. Secara keseluruhannya, kajian ini menunjukkan bahawa B. microphyllum berpotensi memberikan prestasi pertumbuhan yang lebih baik apabila ditanam di kawasan terbuka dengan peratusan litupan kanopi yang rendah. Selain itu, hasil kajian ini dapat dijadikan panduan awal dalam menentukan kesesuaian tapak, amalan silvikultur dan strategi penanaman yang lebih berkesan. Kata kunci: Brachypterum microphyllum, pengetahuan tradisi, litupan kanopi, kemandirian, pertumbuhan
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 42 SIFAT KAYU BRACHYPTERUM MICROPHYLLUM BERUMUR 7 TAHUN YANG DITANAM DI MALAYSIA Nordahlia AS, Fadzureena J, Ong CB, Asniza M, Ariff Fahmi AB, Nur Syauqina Syasya MY & Mohd Khairun Anwar U Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), 52109 Kepong, Selangor E-mel: nordahlia@frim.gov.my Brachypterum microphyllum merupakan spesies pokok cepat tumbuh yang berpotensi dibangunkan sebagai sumber kayu daripada pokok hutan ladang di Malaysia. Namun, sifat kayu dan potensi penggunaannya masih kurang dikaji. Kajian ini menilai sifat anatomi, kimia, fizikal dan mekanikal kayu B. microphyllum berumur tujuh tahun yang ditanam di Selandar, Melaka. Analisis anatomi menunjukkan jenis kayu liang selerak (diffuse porous wood) dengan taburan salur tunggal yang sangat besar serta parenkima aliform hingga bersambung, jejari bersaiz sederhana dan gentian tanpa sekatan melintang. Kandungan holoselulosa adalah tinggi (79.5– 81.9%), manakala lignin adalah sederhana (22.6–23.9%) dan bahan ekstraktif adalah rendah (0.9–2.1%). Ketumpatan kayu B. microphyllum berjulat 441.4–606.8 kg/m³ dengan purata 524.1 kg/m³, menunjukkan kayu adalah daripada kelas ringan hingga sederhana berat. Pengecutan pada kandungan lembapan 15% adalah rendah hingga sederhana, dengan nisbah penyusutan tangen kepada jejari (T/R) sebanyak 1.6 yang menunjukkan kestabilan dimensi sederhana. Sifat mekanikal pula adalah setanding atau lebih tinggi berbanding beberapa spesies kayu ladang yang dilaporkan dalam kajian kepustakaan. Secara keseluruhannya, B. microphyllum menunjukkan potensi sebagai spesies kayu ladang cepat tumbuh dengan sifat fizikal dan mekanikal yang baik. Kata kunci: kayu daripada pokok hutan ladang, sifat anatomi, sifat kimia, sifat fizikal, sifat mekanikal, spesies cepat tumbuh
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 43 EVOLUSI MODEL PERHUTANAN SOSIAL MALAYSIA: INISIATIF KE ARAH PEMULIHARAAN DAN PEMBANGUNAN SOSIOEKONOMI KOMUNITI Huda Farhana MM1, Silvester Jemat AA2, Elne Betrece J3, Norliyana A1, Mukrimah A1 & Nor Fazlina MN4 1Program Perhutanan Sosial, Bahagian Perancangan Penyelidikan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), 52109 Kepong, Selangor 2Jabatan Perhutanan Negeri Sarawak, Petra Jaya, 93050 Kuching, Sarawak 3Jabatan Perhutanan Sabah, Jalan Labuk, 90000 Sandakan, Sabah 4Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jalan Sultan Salahuddin, 50660 Kuala Lumpur E-mel: hudafarhana@frim.gov.my Perhutanan sosial di Malaysia merujuk kepada pendekatan pengurusan hutan dan sumber hutan yang melibatkan komuniti setempat, termasuk orang asli/asal, bersama pihak berkepentingan bagi mencapai manfaat sosial, ekonomi, budaya dan alam sekitar secara seimbang, di samping menyokong kelestarian hutan dan kesejahteraan masyarakat. Pendekatan ini penting kerana Malaysia mempunyai tiga wilayah pentadbiran perhutanan, iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, yang mempunyai kerangka perundangan serta konteks sosioekologi berbeza. Sebelum tahun 2021, ketiga-tiga wilayah mempunyai pendekatan dan tafsiran perhutanan sosial tersendiri, sekali gus mewujudkan keperluan kerangka nasional yang lebih tersusun. Keperluan tersebut menjadi asas kepada pembangunan Pelan Strategik Perhutanan Sosial Malaysia 2021– 2025 sebagai panduan untuk memperkukuh pelaksanaan perhutanan sosial di peringkat negara. Pelan strategik tersebut menyediakan hala tuju nasional berasaskan empat teras strategik, iaitu dasar, perundangan dan tadbir urus; kesedaran dan pembangunan sumber manusia; instrumen kewangan; serta penggunaan sumber hutan. Hala tuju ini selari dengan aspirasi pembangunan lestari negara melalui penglibatan pelbagai pihak, pemerkasaan komuniti, perkongsian manfaat dan penggunaan sumber hutan secara lestari. Dasar Perhutanan Malaysia 2021 turut memperkukuh pendekatan inklusif dengan mengambil kira kepentingan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Dalam perkembangan perhutanan sosial negara, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) berperanan sebagai agensi pelaksana dalam penyediaan pelan strategik tersebut, selain menyumbang melalui penyelidikan, pembangunan kapasiti, pengetahuan saintifik dan pembangunan model berasaskan komuniti. Secara keseluruhannya, perhutanan sosial berpotensi menjadi instrumen strategik yang menghubungkan pemuliharaan biodiversiti, pengukuhan mata pencarian, tadbir urus kolaboratif dan pembangunan ekonomi komuniti secara inklusif, berdaya tahan dan berterusan. Pendekatan ini juga membuka ruang kepada pengiktirafan pengetahuan tradisional, penglibatan masyarakat dalam pemantauan sumber, pembangunan perusahaan sosial serta aktiviti pelancongan berasaskan komuniti. Kejayaan pelaksanaannya bergantung pada koordinasi antara agensi, kejelasan peranan, akses kepada pembiayaan dan pengukuhan keupayaan komuniti dalam mengurus sumber secara bertanggungjawab dan berterusan. Kata kunci: pembangunan komuniti, ekonomi, Semenanjung Malaysia, perhutanan sosial, kemiskinan, masyarakat
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 44 Jawantankuasa Penganjur Penasihat Saintifik Dr Ling Sui Kiong Tan Ai Lee Dr Nik Musa’adah Mustapha Intan Nurulhani Baharuddin Dr Khadijah Nabilah Mohd Zahri Pengerusi I & II Dr Mary Khoo Gaik Hong Dr Fadzureena Jamaludin Dr Mazura Md Pisar Sosial & Pameran Nurshahidah Mohd Rusli Setiausaha I & II Saidatul Husni Saidin Siti Nur Aisyah Mohd Hashim Amelia Bah Azmi Nur Syahirah Arbein Noor Rasyila Mohamed Noor Nadiah Salmi Nadzri Bendahari I & II Rohana Sahdan Firdaus Kamarulzaman Toh An Nee Mailina Jamil Lim Chung Lu Nur Afniza Mohammad Ghazali Logistik Nor Shahidah Hussin Ariff Fahmi Abu Bakar Madihah Muhammad Nawi Sofia Aqilah Ridzuan Mohd Rizzal Mat Yusoff Muhammad Hazim Firdaus Ahmad Shabian Muhammad Amirul Amin Shariffuddin Shah Nurzayanah Adilah Mohd Zain Muhammad Fadhli Roslan Mohd. Hairul Mohd. Amin Mohamad Alhad Salleh
PEMULIHARAAN DAN PEMERKASAAN PENGETAHUAN TRADISI 2026 45 SEKALUNG BUDI, SETULUS INGATAN Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran Seminar Pemuliharaan & Pemerkasaan Pengetahuan Tradisi 2026 • Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) • Yang Beradat Batin/Penghulu dan wakil: 1. RPS Iskandar, Bera, Pahang 2. RPS Banun, Gerik, Perak 3. Kg Ulu Geroh, Gopeng, Perak 4. Kg Pulau Kempas & Kampung Bukit Cheeding, Kuala Langat, Selangor 5. Kg Paya Mendoi & Kampung Seboi, Kuala Krau, Pahang 6. Kg Sungai Selangi, Kota Tinggi, Johor 7. Kg Sungai Berua, Kuala Berang, Terengganu 8. Kg Aring 5, Gua Musang, Kelantan 9. Kg Sungai Enggang, Lanchang, Pahang 10. Kg Air Bah, Gerik , Perak 11. Kg Kuala Lah, Gua Musang, Kelantan 12. Kg Bukit Asu, Pengkalan Hulu, Perak 13. Kg Lubok Legong, Baling, Kedah 14. Kg Bukit Bangkong, Sepang, Selangor 15. Kg Sri Pantai, Batu Pahat, Johor 16. Kg Simpang Arang, Gelang Patah, Johor 17. Kg Sungai Lui, Jempol, Negeri Sembilan 18. Pos Tuel, Gua Musang, Kelantan 19. Kg Sungai Rual, Jeli, Kelantan 20. Kg Dusun Kubor, Jelebu, Negeri Sembilan 21. Kg Sungai Berjuang, Jerantut, Pahang 22. Kg Sungai Relong, Cameron Highlands, Pahang 23. Kg Embus, Lubuk Paku, Maran, Pahang 24. Kg Punan, Mersing, Johor 25. Kg Bukit Lagong, Kepong, Selangor 26. Kg Terbol & Kampung Pian, Kuala Krau, Pahang 27. Kg Pasir Linggi, Gua Musang, Kelantan • Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) • Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri (Perak & Kedah, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu & Kelantan) & Daerah • Bahagian Hasilan Semulajadi, FRIM • Bahagian Perancangan Penyelidikan, FRIM • Bahagian Bioteknologi Perhutanan, FRIM • Bahagian Biodiversiti Hutan, FRIM • Unit Bengkel & Kenderaan, FRIM • Unit Komunikasi Korporat, FRIM • Unit Undang-Undang, FRIM • Pasukan Penyelidik Pengetahuan Tradisi, FRIM
INSTITUT PENYELIDIKAN PERHUTANAN MALAYSIA (FRIM) 52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan Tel: 603-6279 7000 www.frim.gov.my FRIMKepong
