Peppered Moths Evolution Storybook

‘Barangkali Kita Hanya Perlu Bertahan Sedikit Lagi’Penulis: Syasya Hajidah Abd Kamal Kategori Guru / Pensyarah, Smk Semop,Daro Sarawak

Pukul 4.30 petang. Loceng terakhir sudah lama berbunyi. Satu demi satu murid meninggalkan kelas. Tetapi di sebuah kelas di hujung bangunan, masih ada seorang guru yang belum pulang.

Cikgu Haris memandang timbunan buku di hadapannya. Bukan buku-buku itu yang membuatnya penat. Tetapi perasaan bahawa dia sudah terlalu lama cuba. Dia sudah cuba bercakap dengan lembut. Sudah cuba menegur. Sudah cuba memujuk. Sudah cuba memahami. Namun setiap hari terasa seperti mengulang perkara yang sama.

Amir menutup buku. “Bodohnya aku…” Dia bukan tidak mahu berjaya. Dia cuma sudah terlalu lama kecewa dengan dirinya sendiri Sementara itu, Amir masih duduk di tangga belakang sekolah. Buku Matematik terbuka di atas pahanya. Satu soalan sudah hampir setengah jam dipandang.

Dua manusia. Seorang guru. Seorang murid. Dua-duanya sedang berjuang. Dua-duanya sedang penat. Dan kedua-duanya menyangka hanya mereka seorang yang sedang berjuang. Amir ternampak Cikgu Haris masih berada di dalam kelas. “Cikgu…” “Belum balik?” Kemudian Amir bertanya, “Cikgu tak penat ke?” Cikgu Haris terdiam. Soalan itu ringkas. Tetapi entah mengapa, petang itu soalan yang paling mudah itulah yang paling berat untuk dijawab.

Amir terdiam. Dia faham. Terlalu faham. Cikgu Haris berkata, “Kadang-kadang yang paling meletihkan bukan perjalanan, tetapi perasaan bahawa kita sudah berjalan terlalu jauh, namun masih belum sampai ke mana-mana.”

Cikgu Haris berkata, “Allah tidak pernah menjanjikan kita hidup tanpa lelah.” “Dunia memang tempat untuk kita berpenat.” “Belajar itu penat.” “Bekerja itu penat.” “Menjaga keluarga itu penat.” “Menjadi guru itu penat.” “Menjadi murid pun penat.” “Kita sering menyangka hidup yang baik ialah hidup yang tidak melelahkan. Sedangkan mungkin hidup yang paling baik ialah hidup yang lelahnya mempunyai makna.”

Amir bertanya, “Kalau orang tak nampak usaha kita?” Cikgu Haris menjawab, “Allah nampak.” “Kalau orang tak puji?” “Allah tahu.” Cikgu Haris mengambil buku Matematik Amir. “Mana soalan yang kamu tak faham?” “Yang ini.” “Baik. Kita buat sama-sama.” Amir cuba. Salah. Cuba lagi. Masih salah. “Penatlah, cikgu.” Cikgu Haris tersenyum. “Memang penat.” Allah tahu berapa kali kita hampir menyerah tetapi memilih untuk mencuba lagi.

Mereka akhirnya pulang. Masalah Amir belum selesai. Buku Cikgu Haris masih banyak. Esok masih ada kelas. Masih ada kerja. Masih ada hari yang berat. Tetapi mereka sudah memahami sesuatu. Penat bukan selalu tanda bahawa kita kalah. Kadang-kadang penat itu tanda bahawa kita sedang berjuang. Dan jika perjuangan itu dilakukan kerana Allah… jangan takut dengan penat.

Semoga setiap lelah yang kita lalui menjadi ibadah. Semoga setiap usaha yang tidak dipandang manusia menjadi sesuatu yang besar di sisi Allah. Dan semoga apabila tiba masa kita pulang kepada-Nya nanti, kita boleh berkata dengan hati yang tenang “Ya Allah, aku memang penat. Tetapi aku tidak berhenti.“ Barangkali Allah tidak mengurangkan lelahnya, kerana di sebalik penat itu ada nilai yang tidak terlihat oleh mata.

Kita cuma penat, bukan kalah.Kategori Guru / Pensyarah, Smk Semop,Daro Sarawak