Alya merupakan seorang kanak-kanak berumur lapan tahun yang ceria dan riang. Setiap pagi, ibunya akan menghantarnya ke hentian bas untuk ke sekolah.
Alya sentiasa teruja untuk ke sekolah setiap hari. Dia dan ibunya melalui jalan di kawasan perumahan yang tenang. Burung berkicau dan angin bertiup perlahan. Alya sangat gembira kerana dapat berjalan bersama ibunya setiap pagi.
Mereka berjalan menuju hentian bas bersama. Semasa menghampiri hentian bas, Alya ternampak seekor kucing oren sedang duduk di situ.
Alya sungguh gembira melihat kehadiran kucing oren itu di hentian bas. Matanya terus bersinar. Alya seorang yang sangat sukakan haiwan.
Dia segera menunjukkan kucing itu kepada ibunya. Ibunya hanya tersenyum melihat karenah anaknya itu.
Alya meminta izin daripada ibunya untuk mendekati kucing tersebut. Setelah mendapat kebenaran ibunya barulah dia bergerak ke arah kucing tersebut.
Alya menghampiri kucing oren itu dengan perlahan. Dia tidak mahu menakutkan kucing itu. Kucing oren itu hanya duduk diam memandang Alya. Kucing itu masih ragu- ragu. Alya tersenyum kerana kucing itu tidak melarikan diri.
Keesokan harinya, Alya lebih bersemangat untuk ke sekolah. Dia berharap akan berjumpa lagi dengan kucing oren itu. Setibanya di hentian bas, Alya gembira apabila melihat kucing oren itu masih lagi berada di hentian bas.
Kali ini Alya cuba memberanikan diri menyentuh kucing oren itu. Melihat penerimaan kucing itu, Alya membelai kepala dan badannya lembut. Kucing oren itu kelihatan tenang dan menyukai sentuhan Alya.
Ibunya hanya memerhatikan Alya sambil tersenyum. Dia turut gembira apabila melihat Alya gembira. Dia bangga melihat Alya mempunyai rasa empati terhadap haiwan.
Alya mula memberikan makanan kepada kucing tersebut. Dia kesian melihat kucing oren itu seakan-akan kelaparan setiap kali berjumpa dengannya.
Ibunya juga tidak menghalang perbuatan Alya malah turut membantu menyediakan makanan buat kucing oren itu.
Hari-hari berikutnya kucing itu kelihatan semakin selesa dengan Alya. Mereka mula bermain bersama-sama.
Kucing oren itu tidak lagi takut dengan Alya. Alya dan kucing oren itu telah menjadi kawan baik.
Namun, pada suatu hari, kucing oren itu tiada di hentian bas. Alya berasa sedih tetapi dia beranggapan kucing itu mungkin berteduh di tempat lain. Dia berharap keesokan harinya dia dapat berjumpa lagi dengan kucing oren itu.
Tetapi esoknya masih sama. Bayangan kucing oren itu masih tiada di hentian bas tersebut. Alya mula berasa gusar. Dia memberitahu ibu dan ayahnya tentang kehilangan kucing oren itu.
Ibu dan ayah Alya membantu Alya mencari kucing oren itu. Mereka mencari kucing itu di persekitaran hentian bas dan kawasan yang berdekatan.
Sudah seminggu berlalu, tetapi kucing oren itu masih lagi belum dijumpai. Alya semakin putus asa.
Alya mula menangis kesedihan. Dia enggan berpisah dengan kucing oren itu. Dia ingin terus bersama kucing oren itu.
Alya juga bimbang jika ada apa-apa yang tidak diingini menimpa kucing oren itu. Dia risau akan keadaan kucing oren itu.
Ibu dan ayah Alya cuba memujuk Alya. Mereka meyakinkan Alya bahawa kucing oren itu pasti akan dijumpai.
Ibu dan ayah Alya juga meyakinkan dia bahawa tiada apa yang akan menimpa kucing oren itu. Kucing oren itu akan baik- baik sahaja kata mereka.
Alya sedikit sebanyak berasa lega mendengar pujukan ibu dan ayahnya. Mereka meneruskan pencarian kucing oren itu.
Mereka meluaskan kawasan pencarian. Tiba- tiba ayahnya memanggil Alya dengan nada yang ceria dan gembira.
Ayah Alya telah menjumpai kucing oren itu di sebalik semak-samun. Mereka semua sangat gembira kerana kucing oren itu sudah dijumpai.
Alya berasa lega kerana kucing oren itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Akan tetapi, ada sesuatu yang mengejutkan mereka.
Kucing oren itu rupa-rupanya telah melahirkan tiga ekor anak ! Ketiga-tiga ekor anaknya juga berwarna oren sama sepertinya.
Alya bertambah teruja melihat kecomelan tiga ekor anak kucing itu. Anak kucing itu juga kelihatan sangat manja dan gebu.
Alya meminta izin ibu dan ayahnya untuk menjaga kucing oren itu di rumahnya. Dia berjanji akan menjaga kucing oren itu dan anak-anaknya dengan sebaik mungkin.
Ibu dan ayah Alya membenarkan Alya menjaga semua kucing tersebut dan berjanji untuk sama-sama membantu Alya. Alya melompat kegembiraan.
Akhirnya, kucing oren dan anak-anaknya dibawa pulang ke rumah oleh Alya. Setiap hari Alya akan meluangkan masa bermain bersama-sama kucing tersebut.
Alya juga menyediakan tempat khas buat kucing oren itu dan anak-anaknya. Dia juga membelikan mainan buat si bulus itu.
Alya sangat menyayangi kucing oren itu. Dia akhirnya menamakan kucing itu “Oren” kerana warna bulunya yang oren dan bersinar. Oren juga kelihatan semakin sihat sejak dijaga oleh Alya.
Dengan kehadiran Oren, Alya tidak lagi berasa sunyi. Oren menjadi sahabat baik Alya yang tidak dapat dipisahkan lagi.