Hana dan Mei Ling merupakan sahabat baik sejak kecil. Rumah mereka terletak berhadapan dan hanya dipisahkan oleh jalan yang kecil. Setiap hari, mereka menghabiskan masa bersama-sama. Persahabatan mereka sangat erat, ibarat isi dengan kuku.

Pada suatu pagi, Cikgu Rosnah mengumumkan pertandingan mendeklamasikan sajak peringkat daerah. Sekolah hanya akan memilih seorang murid untuk menjadi wakil melalui pertandingan peringkat sekolah. Hana dan Mei Ling sangat berminat untuk menyertainya. Kedua-duanya mula memasang impian untuk mengharumkan nama sekolah.

Sejak pengumuman itu, Hana dan Mei Ling semakin rajin berlatih. Mereka menghafal setiap bait sajak dan memperbaiki sebutan masing-masing. Pada mulanya, mereka berasa gembira kerana mempunyai peluang yang sama. Namun, tanpa disedari, keinginan untuk menjadi juara mula mengubah perasaan mereka.

Lama-kelamaan, Hana mula berasa bimbang akan kehebatan Mei Ling. Dia takut sekiranya sahabat baiknya itu mendapat markah yang lebih tinggi. Jika dahulu mereka sering berkongsi ilmu, kini masing-masing mula menyimpan rahsia. Persahabatan mereka perlahan-lahan berubah menjadi persaingan yang tidak sihat.

Setiap kali terdengar suara Mei Ling berlatih, hati Hana semakin tidak tenteram. Dia mula membandingkan kebolehannya dengan Mei Ling. Perasaan cemburu semakin menguasai fikirannya sehingga Hana terlupa bahawa Mei Ling ialah sahabat yang sentiasa menyokongnya.

Hari pemilihan wakil sekolah akhirnya tiba. Hana dan Mei Ling merupakan dua peserta terakhir yang bertanding. Kedua- duanya menunjukkan persembahan yang terbaik. Hana membaca sajak dengan lantang, manakala Mei Ling pula mendeklamasikannya dengan penuh penghayatan.

Setelah semua persembahan selesai, keputusan diumumkan. Mei Ling telah dipilih untuk mewakili sekolah ke pertandingan peringkat daerah. Mei Ling berasa sangat gembira. Namun, Hana pula berasa kecewa kerana tidak berjaya.

Mei Ling cuba mendekati Hana untuk memberikan semangat. Namun, Hana masih tidak dapat menerima keputusan tersebut. Dia mula menyalahkan Mei Ling dan menganggap kejayaan sahabatnya itu sebagai kekalahannya sendiri.

Cuti sekolah akhirnya bermula. Sepanjang cuti, Hana hanya menghabiskan masa dengan menonton televisyen di ruang tamu. Suasana terasa sunyi tanpa kehadiran Mei Ling. Dahulu, setiap kali cuti sekolah tiba, mereka pasti akan menghabiskan masa bersama-sama dengan bermain dan melakukan pelbagai aktiviti.

Semasa menonton televisyen, Hana terdengar bunyi bising dari rumah Mei Ling. Dia segera mengintai melalui pintu rumahnya. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat beberapa orang pekerja sedang mengangkut perabot dan barang-barang ke dalam sebuah lori besar.

Hana berasa sangat cemas. Tanpa berlengah, dia terus berlari menuju ke rumah Mei Ling. Namun, kereta keluarga Mei Ling sudah mula bergerak meninggalkan kawasan perumahan itu. Hana cuba mengejar, tetapi kereta tersebut semakin jauh sehingga hilang di selekoh jalan.

Hana menghampiri seorang pekerja yang sedang membersihkan halaman rumah Hana. Daripada pekerja itu, Hana mengetahui bahawa keluarga Mei Ling telah berpindah ke rumah baharu. Hati Hana terasa sangat sedih. Dia tidak sempat mengucapkan selamat tinggal, apatah lagi meminta maaf atas segala kesalahannya.

Pada malam itu, Hana membuka album gambar lama. Satu demi satu kenangan bersama-sama Mei Ling kembali bermain dalam fikirannya. Air mata mula membasahi pipinya. Dia sedar bahawa perasaan cemburu telah menyebabkan dirinya kehilangan seorang sahabat yang sangat berharga. Hana benar-benar menyesali perbuatannya.

Cuti sekolah berakhir. Hari pertama sesi persekolahan baharu pun tiba. Hana berjalan masuk ke kawasan sekolah dengan perasaan yang masih sedih. Tiada lagi Mei Ling yang menemaninya seperti dahulu. Ketika berjalan menuju ke kelas, Hana terlalu leka memikirkan kenangan lama sehingga tidak menyedari seseorang sedang berjalan dari arah bertentangan.

Tiba-tiba, satu suara yang sangat dikenalinya memanggil namanya. Hana menoleh ke hadapan. Alangkah terkejutnya apabila melihat Mei Ling berdiri di hadapannya! Hana segera meminta maaf kepada Mei Ling atas apa yang berlaku dahulu.

Rupa-rupanya, keluarga Mei Ling hanya berpindah ke taman perumahan berdekatan dan dia masih bersekolah di situ. Hana segera memeluk Mei Ling. Mereka saling memaafkan dan berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama. Sejak hari itu, persahabatan mereka kembali erat.

Melalui kisah Bukan Lawan, Tetapi Kawan, saya ingin menyampaikan bahawa kejayaan bukanlah sesuatu yang perlu direbut dengan menjatuhkan orang lain. Sebaliknya, kita harus menjadikan kejayaan sahabat sebagai inspirasi untuk terus berusaha dan memperbaiki diri. Saya berharap kisah ini dapat mengingatkan para pembaca bahawa setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Belajarlah menerima kekalahan dengan hati yang terbuka, meraikan kejayaan orang lain dan menghargai insan yang sentiasa berada di sisi kita. Akhir kata, ingatlah bahawa sahabat bukan untuk disaingi dengan kebencian, tetapi untuk dihargai dengan keikhlasan. Selamat membaca!